|
Kelantan Nafi Pembangunan Tidak Terancang Punca Kesesakan Di Pusat Bandar |
|
|
|
|
Written by Webmaster
|
|
Saturday, 01 December 2007 |
|
KOTA
BAHARU, -- Kerajaan negeri Kelantan menolak
faktor pembangunan tidak terancang di pusat bandar negeri itu menjadi
punca berlakunya kesesakan lalu lintas setiap kali tiba musim perayaan
dan ketika waktu puncak, lapor Bernama.
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Datuk
Takiyuddin Hassan berkata setiap perancangan pembangunan terutama di
Majlis Perbandaran Kota Baharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dilakukan
mengikut proses yang ditetapkan.
"Kami sedang teliti punca kesesakan yang berlaku tetapi
berdasarkan pemerhatian, ia bukan disebabkan pembangunan infrastruktur
yang tidak terancang.
"Kerajaan negeri mengakui kesesakan ini menjadi masalah kepada
rakyat, jadi beberapa langkah telah diambil termasuk mengadakan
rancangan bersepadu dengan pihak berkuasa bagi mengawal jumlah keluar
masuk kenderaan di pusat bandar," katanya pada persidangan Dewan
Undangan Negeri Kelantan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan ketua pembangkang,
Datuk Seri Annuar Musa (BN-Kok Lanas) mengenai langkah kerajaan dalam
usaha menangani kesesakan di pusat bandar terutama ketika waktu puncak.
Annuar mendakwa pembangunan infrastruktur di pusat bandar tidak
dibuat dengan sewajarnya sejajar dengan pertambahan kenderaan
menyebabkan kesesakan berlaku terutama ketika musim perayaan dan cuti.
Takiyuddin berkata pihak berkuasa tempatan juga akan membuka
semula jalan yang telah ditutup mengikut keperluan sebagai satu cara
menangani masalah kesesakan, antaranya Jalan Padang Garong.
Beliau berkata antara langkah lain yang diambil pihaknya dalam
usaha mengurangkan kesesakan ialah dengan menaikkan kadar bayaran
tempat letak kereta di pusat bandar bagi mendidik pengguna tidak
membazir masa ketika berada di pusat bandar.
"Berdasarkan analisis yang kami buat, bila naikkan caj, kurang
sedikit masalah kronik tidak cukup tempat parking, pengguna tidak lagi
guna (petak letak kereta) lama-lama, beri peluang kepada orang lain
guna pula," katanya.
Menjawab soalan Mohd Shukri Abd Rahman (PAS-Kadok), Takiyuddin
berkata MPKB-BRI juga telah mengenakan syarat melarang kenderaan berat
memasuki pusat bandar pada waktu-waktu tertentu sebagai satu cara
menangani kesesakan jalan raya.
Sumber : http://kelantan.pas.org.my/
|
|
Last Updated ( Saturday, 01 December 2007 )
|