Sel12232014

Last updateIsn, 22 Dis 2014 3pm

Artikel

Tautkan keakraban, jangan terperangkap taktik musuh

 

 

PULAU PINANG: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mahu semua jentera Pakatan Rakyat khususnya di kawasan yang baru sahaja selesai isu pertindihan calon agar bergerak bersama bagi tujuan menumbangkan Umno BN.



Katanya, jentera-jentera yang terlibat khususnya PAS dan PKR perlu membuat perancangan bersama bagi mewujudkan gelombang rakyat agar menolak Umno BN pada Pilihan Raya Umum (PRU13) kali ini.



"Perlu akrabkan kembali tautan agar bersama satu gelombang jatuhkan Umno dan Barisan Nasional (BN), " katanya.



Beliau berkata demikianketika mengadakan lawatan singkat ke kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun), Sungai Acheh semalam.



Sungai Acheh adalah antara tujuh kerusi yang menyaksikan pertindihan antara calon PAS dan PKR selepas penamaan calon 20 April lalu.



Bagaimanapun ianya diselesaikan dengan PAS menyerahkan kerusi tersebut kepada PKR termasuk kerusi Parlimen Labuan dan Dun Panti di Johor.



PKR pula menyerah tiga kerusi kepada PAS iaitu  Bukit Besi, Seberang Takir dan Kota Putera sebagai timbal balas, manakala Dun Kota Damansara masih dalam perbincangan.



Dengan penyelesaian itu, kesemua kerusi-kerusi tersebut kembali menjadi pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Rakyat dengan BN.



Mengulas lanjut, Mohamad berkata penyelesaian itu sekaligus membuatkan BN habis modal untuk meyerang kerjasama dalam Pakatan Rakyat.



"Awasi mainan jahat pihak musuh yang masih mahukan Pakatan Rakyat berpecah di saat akhir kerana perbalahan menandakan kekalahan di penghujungnya, " jelas beliau.