Isn12222014

Last updateAhd, 21 Dis 2014 5pm

Artikel

Kalimah Allah: PAS minta Majlis Fatwa buat ketetapan


KUALA LUMPUR: PAS menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan segera membuat ketetapan yang selari dengan agam Islam berhubung penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam.

 

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan mesti memanggil sidang khas segera bagi menyelesaikan isu penggunaan kalimah Allah ini yang menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

 

"Saya menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan membuat ketetapan berhubung penggunaan kalimah Allah kerana orang bukan Islam dan orang Islam sendiri nak tahu mana satu yang betul dan selari dengan agama Islam.

 

Majlis Fatwa Kebangsaan perlu menyelesaikan isu ini secara bijaksana supaya tidak berlaku kekeliruan orang bukan Islam ke atas Islam," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

 

Beliau berkata, kekeliruan timbul apabila Kerajaan Persekutuan membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak tetapi tidak boleh digunakan di Selangor.

 

"Mengikut Enakmen 1988 iaitu Agama bukan Islam di Selangor (Kawalan Penyebaran Agama kepada Orang Muslim), orang bukan Islam dilarang menggunakan kalimah Allah tetapi Kerajaan Persekutuan membenarkan orang kristian menggunakan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak.

 

"jadi orang nak tahu yang mana satu betul dan selari dengan ajaran Islam dan yang mana tidak betul. Di sinilah perlunya ketetapan Majlis Fatwa kebangsaan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

 

Tegas beliau juga, anggota Majlis Fatwa Kebangsaan perlu dilantik semula jika gagal menyelesaikan isu kalimah Allah ini.

 

"Kalau Majlis Fatwa Kebangsaan tidak boleh keluarkan ketetapan isu ini, elok bubar dan lantik orang baru," katanya.