PRU13: PAS Pahang sasar 12 Dun, 3 parlimen

 

TEMERLOH: PAS Pahang meletakkan sasaran 10 campur 2 untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk dimenangi pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

 

Pesuruhjayanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata 12 kerusi Dun itu termasuk mempertahankan 2 kerusi yang dimenangi iaitu Beserah dan Semantan manakala 10 Dun lagi sasaran untuk dimenangi.

 

"Sementara itu peringkat parlimen pula, 3 kerusi menjadi sasaran kita," jelas beliau kepada Harakahdaily.

 

Beliau juga memberitahu, dari sudut persiapan PAS Pahang berada pada 99 peratus, manakala satu peratus hanya persiapan calon yang perlu mendapat kelulusan peringkat pusat.

 

"Persiapan jentera di seluruh Pahang telah siap sepenuhnya termasuk bahan-bahan kempen.

 

"Bagi pelancaran manifesto peringkat negeri dan pengisytiharan calon, kita akan menetapkan pada satu tarikh yang akan dihadiri oleh semua pimpinan Pakatan Rakyat peringkat negeri," sambung beliau lagi.

 

Menurut beliau lagi untuk kempen pilihanraya kali ini, semua program akan diadakan melibatkan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat.

 

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berharap dengan kerjasama itu akan memperlihatkan satu perubahan besar di Pahang pada PRU13 nanti.