Liqa' Khas Pemuda PAS bersama Presiden 5 April

 

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia akan menganjurkan Liqa' Khas bersama Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 5 April ini di Baling Kedah.

 

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, program ini bakal melibatkan pimpinan pemuda peringkat kawasan dan ahli ahli jawatankuasa lujnah dan jabatan peringkat pusat.

 

"Program ini berbentuk penyampaian amanat dan perkembangan politik semasa Malaysia dan dunia oleh Presiden.

 

"Ia juga bagi memberi peluang kepada pimpinan akar umbi pemuda untuk berdialog dengan Presiden dan pimpinan utama Pemuda PAS Malaysia," kata beliau kepada Harakahdaily.

 

Dalam program itu juga, pemuda PAS akan membentangkan halatuju dan agenda mereka sepanjang sesi ini bagi memberi peluang terbuka kepada pimpinan di peringkat kawasan untuk memberi pandangan, kritikan dan cadangan.

 

"Kebiasaannya dihujung sesi diwaktu muktamar sahaja mereka diberi peluang memuhasabah Pemuda Pusat. "Tetapi kali ini, pimpinan kawasan diberi peluang untuk turut sama membentuk halatuju Pemuda PAS Malaysia," kata beliau lagi.

 

Menurut Suhaizan, selepas tamat program itu yang diadakan di sebelah pagi, pemuda PAS juga akan menyertai Himpunan Baling yang diadakan di sebelah petang untuk memperjuangkan hak penoreh getah, petani dan lain lain.

 

Pada sebelah malam pula, Presiden PAS akan menghadiri ceramah perdana sempena Himpunan Derita Baling bersama Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar dan Penasihat DAP Lim Kit Siang di Kupang.

 

Sehari sebelum itu, Ustaz Hadi juga dijangka akan menghadiri Majlis Makan Malam Dana Kompleks PAS Kedah.