Harus merdeka mental dan spiritual – Nik Zawawi

 

Biarpun negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-57 tahun, rakyat belum lagi merasai hakikat kemerdekaan sebenar mengikut kaca mata Islam. Demikian luahan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Ustaz Nik Zawawi Salleh kepada wartawan ROY RASUL dalam satu temubual, 14 Ogos lalu. Baginya kemerdekaan dari kaca mata Islam di negara ini hanya kemerdekaan pada kulitnya sahaja. Ikuti wawancara bersama beliau.

 

HARAKAH: Sambutan merdeka memaknakan sambutan dengan kesedaran. Bagaimanapun lazimnya kerajaan akan menganjurkan program hiburan untuk sambutan kemerdekaan, ada sebarang cadangan daripada Dewan Ulama PAS, agar kerajaan mengubahnya pula?

 

USTAZ NIK ZAWAWI: Menyambut hari kemerdekaan itu dibolehkan di dalam Islam kerana Islam meletakkan garis panduan supaya apabila kita menyambut hari kemerdekaan ia benar-benar mencermin kepada kita dua edisi. Pertama kemerdekaan kita di dunia dan kedua ialah kemerdekaan kita di hari akhirat. Kemerdekaan yang ada dalam Islam itu sangat berbeza teori dan peranannya berbanding dengan teori kemerdekaan yang diajar oleh negara Barat. Berbalik kepada kemerdekaan dalam Islam, pertama kita ingin memerdekakan di dunia.

 

Kemerdekaan di dunia ada hubungkait dengan persoalan kehidupan kita di hari akhirat kerana kemerdekaan mengikut kaca mata Islam kita merdeka daripada sebarang bentuk penjajahan. Dalam hal ini ia bukan bermakna di sudut pemerintahan sahaja, iaitu penjajah balik dan kemudian tinggalkan segala penjajahan kepada kita, kemudian kita mahu merdeka. Itu tidak betul kerana dalam Islam apabila merdeka ia merdeka di segi mental dan spiritual. Dalam aspek zahir kemerdekaan itu mesti meletakkan kemerdekaan itu dengan meletakkan kuasa pemerintahan negara ke tangan umat Islam berasas kepada syariat yang diturunkan Allah SWT.

 

Ini kemerdekaan dalam Islam. Sesiapa yang memerintah itu tidak mustahak dalam Islam, maknanya jika orang putih yang masih memerintah negara tetapi memerintah cara Islam, itu adalah kemerdekaan dalam Islam. Kalau orang Melayu yang memerintah tiba-tiba diambil dasar dan perlembagaan daripada Barat, tandanya kita tidak merdeka sebenarnya.

 

Oleh sebab itu yang terbaiknya, kita sebagai anak watan kita yang memerintahnya. Tetapi dalam waktu yang sama kita tunduk pada syariat yang diturun oleh Allah SWT. Maka itulah kemerdekaan yang hakiki dan perlu difahami umat Islam.Sebab itu apabila kita menyambut kemerdekaan, Islam tidak menghalang daripada berhibur.

 

Sebaliknya Islam meletakkan garis panduan supaya apabila menyambut kemerdekaan hiburan itu mesti ada batasan dan cara serta peraturannya. Ini supaya apabila menyambut kemerdekaan tidak terjebak dengan gejala barat yang berlaku di negara Barat.

 

Apa erti menyambut kemerdekaan sedangkan budaya Barat diambil sehingga menyebabkan ada yang melahirkan anak luar nikah, ketagihan arak, terjebak gejala sosial, maksiat dan sebagainya. Ini bukan bermakna kita merdeka bahkan kita diletak lebih jauh daripada hakikat kemerdekaan yang sebenar. Dalam Islam apabila menyambut kemerdekaan, Islam membolehkan berhibur dengan nasyid, dengan apa jua pertunjukan seperti bunga api dan sebagainya.

 

Ini diharuskan dalam Islam dan dalam waktu yang sama kita menjaga adab-adab yang disebut Allah supaya manusia benar-benar merdeka. Dia menjadi seorang manusia bukan hanya nama menjadi manusia tetapi perangainya seperti haiwan. Ini bukan budaya kemerdekaan. Jadi kemerdekaan sebenar mempastikan supaya sambutan kemerdekaan di sudut mental, spritual dari sudut pemerintahan negara itu sendiri. Ini adalah hakikat kemerdekaan sebenarnya.

 

Antara agenda meraikan sambutan dalam suasana patriotisme dan kesedaran beragama boleh Ustaz ulas?

 

Dalam Islam meletakkan kemerdekaan supaya manusia benar-benar merdeka dunia dan akhirat. Pertalian dunia dan akhirat sangat intim dan tidak boleh seseorang manusia pisahkan apabila mengabdikan diri kepada Allah ataupun dengan erti kata lain bebas daripada segala ancaman manusia dan segalanya.Sebab kehidupan di hari akhirat hidupnya kekal abadi. Sekiranya kita dianugerah Allah dengan syurga maka itu juga kemerdekaan yang hakiki.

 

Jika kita dibelenggu oleh Allah dalam neraka apa erti kita bercakap kemerdekaan dan dalam waktu yang sama kita akan dijajah oleh azab Allah SWT dan tidak ada kesudahannya.

 

Sebab itu dalam Islam kemerdekaan di hari akhirat itu mesti diambil satu fokus yang bersungguh-sungguh oleh umat Islam supaya apabila menyambut kemerdekaan di dunia kita nampak kemerdekaan yang disambut di dunia ini akan memberi jaminan merdeka pada hari akhirat. Ini perkara yang sangat besar.

 

Oleh itu, dalam harakah Islamiah dalam parti Islam kemerdekaan itu sangat berbeza dengan mana-mana parti politik yang tidak perjuangkan Islam. Cara kita mengolah, cara bercakap memang berbeza kerana Islam itu sendiri meletak perbezaan yang ketara antara yang ditaja barat dan merdeka yang ada dalam Islam itu sendiri.

 

Sebab itu dalam konteks kemerdekaan kita nasihat kepada semua rakyat berbilang kaum, berbilang agama supaya menjaga batas-batas kebudayaan yang menyentuh moral. Ini kerana perkara ini boleh diterima oleh semua kaum dan agama.

 

Adapun umat Islam secara khusus kita minta supaya mereka menghayati erti kemerdekaan sebenar yang diajar Nabi s.a.w. agar mereka menyambut kemerdekaan dengan benar-benar merdeka di dunia dan yang lebih penting daripada itu kemerdekaan dunia itu akan membawa kepada kemerdekaan yang hakiki di hari akhirat.

 

Bagaimana peranan golongan ulama dalam membangkitkan semangat menuntut kemerdekaan?

 

Peranan ulama menyusun program kesefahaman kepada masyarakat keseluruhannya mengenai erti kemerdekaan sebenar dan bagaimana proses kemerdekaan. Pendekatan mana yang perlu diambil sekarang ini supaya kemerdekaan dapat memulihkan dari semasa ke semasa supaya satu masa nanti insya-Allah negara ini akan benar-benar merdeka. Jadi sekarang ini kita 'separuh merdeka', kita hanya bebas daripada cengkaman zaman penjajah di sudut pentadbiran. Tetapi ideologi-ideologi penjajah kepada kita masih banyak diamal masyarakat. Jadi perkara ini kita boleh lakukan perubahan atau mereformasi semula.