Pelihara fitrah agar ia tidak ternoda

Assalamualaikuam Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

PERTAMANYA marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan keizinan kepada kita untuk terus merasai nikmat iman dan Islam sehingga saat ini.

Ramadan tahun ini telah berlalu meninggalkan kita dengan seribu satu peluang yang tidak dapat diulang kembali. Alhamdulillah, pada tahun ini kita diberikan kesempatan untuk menikmati Ramadan dan semoga Allah SWT memberikan kepada kita peluang lagi untuk bertemu dengan Ramadan pada tahun hadapan, insya-Allah.

Hari ini kita menyambut hari raya yang disyariatkan oleh Islam untuk kita meraikannya. Ia dinamakan sebagai Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah kerana manusia kembali kepada fitrahnya yang asal iaitu suci, bersih dan tulus.

Kesucian ini lahir setelah kita dibersihkan dengan puasa dan pelbagai ibadat di bulan Ramadan selama sebulan dengan pelbagai latihan menundukkan hawa nafsu. Fitrah inilah yang perlu dijaga sebaik mungkin agar tidak ternoda lagi dengan karat-karat dosa dan jahiliyah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “..iaitu fitrah (agama) yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu..” – (Surah Ar-Ruum, ayat 30)

Namun, fitrah inilah yang kadang-kadang dicemari oleh kehendak hawa nafsu manusia yang seringkali melanggar batasan. Manusia yang ditakluk oleh nafsu seringkali mencari kebebasan sehingga melanggar hak-hak Allah SWT dan hak-hak manusia yang lain.

Justeru, timbullah gejala rasuah, pecah amanah, khianat, penzinaan dan pelbagai skandal lagi yang hakikatnya bertentangan dengan fitrah manusia.

Sekalipun hawa nafsu mengiakan perkara ini, tetapi gejala ini jika semua pihak melakukannya akan mendatangkan kerosakan kepada kehidupan manusia. Inilah dia fitrah, fitrah mengatur hidup manusia dan mengatur hidup semua pihak agar hidup dengan aman sentosa.

Peraturan ini hanya ditentukan oleh Tuhan yang mencipta langit dan bumi iaitu Allah SWT. Inilah perjuangan yang kita tunjangi melalui PAS.

Kita berusaha membawa masyarakat agar kembali kepada fitrah. Kita perkenalkan Islam sebagai cara hidup yang sempurna agar masyarakat menyedari bahawa tiada jalan keluar yang boleh menyelesaikan segala kemelut melainkan hanyalah kembali kepada Islam.

Sungguhpun nampak usaha kita ditentang, tetapi sedikit demi sedikit pihak-pihak yang selama ini menunjukkan sikap pertentangan kepada Islam sudah semakin dapat berlembut dan duduk berbincang. Tinggal lagi beberapa kerat yang masih bergayut di dahan-dahan jahiliyah yang semakin reput dan menunggu masa untuk jatuh terhempas ke bumi.

Saya yakin insya-Allah perubahan pasti akan berlaku dengan syarat kita lipat gandakan usaha di samping berdoa dan bergantung harap kepada Allah SWT.

Hari ini, kita menyambut kedatangan hari raya dengan melihat pelbagai perubahan pucuk pimpinan berlaku di Timur Tengah.

Jika Allah SWT boleh memberikan kemenangan kepada gerakan Islam di Mesir contohnya, maka tidak pelik sedikit pun jika PAS berjaya mencapai kemenangan.

Adapun halangan-halangan yang dilihat semakin banyak merintangi di hadapan ini hanyalah tanda-tanda bahawa saat-saat kejayaan semakin hampir, insya-Allah.

Akhir kata, harapan saya agar sama-sama kita meraikan kedatangan Syawal pada kali ini dengan penuh ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT.

 

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Minal ‘Aidin Wal Faizin

TUAN GURU DATO’ NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Mursyidul Am PAS merangkap Pesuruhjaya dan Menteri Besar Kelantan