Baiah: Mursyidul Am PAS jawab tohmahan Mahathir

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, parti itu tidak pernah memaksa ahliahlinya untuk bersikap taksub kepada pucuk pimpinan.

Sambil menafikan tanggapan Tun Mahathir Mohamad barubaru ini, beliau berkata, kenyataan Mahathir itu juga memberi satu tanggapan yang salah mengenai dasar dan perjuangan PAS.

“Semalam Dr Mahathir ada komen mengenai baiah yang diamalkan oleh PAS. Ia semacam mentohmahkan cara baiah PAS sebagai ketaksuban kepada pemimpin, tidak kepada Allah SWT.

“Sebenarnya, PAS tidak mengamal begitu. PAS mengajar ahli dan pemimpinnya berbaiah tetap kepada Allah dan Rasul serta kepatuhan kepada rukun berjemaah, bukannya pemimpin,” kata beliau dalam komen yang disiarkan menerusi laman sosial Facebooknya.

MB Kelantan itu menegaskan, adalah sangat jelas Mahathir kini telah tersasar dalam menterjemahkan PAS sebagai sebuah gerakan politik Islam yang meletakkan akidah perjuangan sebagai keutamaan.

Mengulas isu yang sama, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula ditegur mengenai cara beliau dalam mengutip dan mengulas berita tanpa menyiasat kesahihan berita terlebih dahulu.

Dalam satu kenyataan berbentuk nasihat baru-baru ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menasihati Harussani untuk meninggalkan tabiat mengambil berita “tepi jalan” yang tidak mempunyai sandaran yang sah atau tidak mengetahui hujung pangkal sesuatu berita, lalu terus membuat ulasan.

“Terbaru beliau cuba mengulas isu baiah, dalam keadaan beliau tidak memahami keadaan sebenar,” ujar beliau.

Dalam isu baiah yang diamalkan PAS selama ini, Harussani mendakwa tujuannya untuk menakut-nakutkan ahli kerana soal akhirat adalah ketentuan Allah.

Menjawab dakwaan Harussani, Ustaz Tuan Ibrahim berkata, baiah dalam PAS mempunyai nas dan sandaran yang kukuh dalam sejarah dan keilmuan Islam.

Bahkan tambahnya, dalam al-Quran dan Hadis secara jelas membicarakan soal baiah sama ada sewaktu perjanjian Aqabah, Hudaibiyah, dan lainnya, semuanya membuktikan baiah mempunyai asas kukuh.

“PAS menggunakan kaedah baiah kepada calon yang mewakili parti agar tidak khianat kepada amanah yang diberi oleh rakyat, lebih-lebih lagi berhadapan dengan Umno yang suka menggoncang iman lawannya dengan taburan duit,” katanya.

Mereka (calon) yang telah memenangi kerusi sama ada Dun atau Parlimen mesti sedar ia menang di atas pilihan rakyat, tegas Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Katanya, jika selepas mereka menang, lalu dengan tawaran jutaan ringgit akhirnya ia khianat dan lompat parti sehingga tumbang sesuatu kerajaan yang dipilih rakyat, apakah tindakan begini kita boleh terima dan dibenarkan syarak?

“Peristiwa perampasan kuasa di Perak, adakah Harussani berasa ini adalah perkara yang harus?” soalnya.

Justeru jelas Ustaz Tuan Ibrahim, PAS mengadakan baiah kepada semua calon, di mana mereka yang menang atas tiket parti adalah dilarang lompat parti, keluar parti bahkan, sekiranya dipecat dari parti, mereka mesti mengosongkan kerusi yang dimenangi.

“Kerana asas kemenangan mereka atas lambang parti yang diwakilinya. Tidak timbul soal perkara yang bertentangan dengan hukum syarak.

“Kerana dalam baíiah itu, jelas dinyatakan ia tidak diwajibkan taat kepada perkara bertentangan dengan syarak,” kata beliau. Ustaz Tuan Ibrahim berkata, banyak hadis menggunakan kaedah ini, dan PAS menggunakan kaedah yang sama bagi memelihara perjuangan Islam yang menjadi asas perjuangan PAS.

Baru-baru ini Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul HadAwang mengeluarkan kenyataan bahawa setiap calon PAS yang bertanding dalam pilihan raya akan datang diwajibkan berbaiah bagi menentukan calon tidak menyeleweng dari dasar Islam, cara dan matlamatnya.