Sel07252017

Last updateIsn, 24 Jul 2017 11pm

Ensiklopedia Harian PAS - Falsafah Kebangsaan Melayu: Gagasan Dr Burhanuddin Al-Helmy Tentang Melayu Raya

ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS

FALSAFAH KEBANGSAAN MELAYU: GAGASAN DR BURHANUDDIN AL-HELMY TENTANG MELAYU RAYA


PEMIKIRAN Melayu Raya adalah antara gagasan politik terbesar PAS dekad 1960-an dalam menghadapi perubahan politik negara pasca merdeka dan pertambahan mendadak orang bukan Melayu sebagai rakyat ekoran rancangan pembentukan Malaysia. Tokoh utama yang mempelopori pemikiran Melayu Raya ialah Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin Mohd Noor al-Helmy. Secara peribadi, gagasan Melayu Raya ini telah beliau ketengahkan sejak 1945, tetapi kemudiannya diungkapkan secara serius dalam karya monumentalnya, "Falsafah Kebangsaan Melayu."

Menurut Dr Burhanuddin al-Helmy, gagasan Melayu Raya yang diperjuangkannya sejak 1945 telah membawa kepada penghasilan dua karya utamanya, "Perjuangan Kita" (1946) dan "Falsafah Kebangsaan Melayu" (1947), sebelum diterbitkan akhbar "Melayu Raya" di Singapura pada 1950 dengan beliau sendiri menjadi ketua pengarangnya. Kedua-dua buku tersebut membahaskan panjang lebar tentang sejarah, konsep, dasar dan falsafah Melayu Raya. Inilah yang menjadi kandungan utama buku Falsafah Kebangsaan Melayu, yang merungkai bagaimanakah perjuangan kebangsaan Melayu yang bertepatan dengan kehendak Islam, bukannya berasaskan perkauman yang sempit.

Dr Burhanuddin al-Helmy yang dilahirkan di Kampung Changkat Tualang, Taiping pada 1911 telah mendapat pendidikan agama di Sumatera Barat, Pulau Pinang dan India, sebelum mendalami ilmu perubatan homeopathy dan mendapat ijazah kedoktoran falsafah dalam bidang psikologi agama. Beliau aktif dalam gerakan Islam sejak 1936 dan memimpin Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 1945, sebelum terlibat mengasaskan Hizbul Muslimin (1947-1948) dan Partai Rakyat (1955). Akhirnya beliau mendukung perjuangan PAS sebagai Yang Dipertua Agung PAS sejak 1956.

Buku Falsafah Kebangsaan Melayu telah diterbitkan pertama kali pada 1947 oleh PKMM Singapura, kemudian terkenal dengan cetakan keduanya oleh Pustaka Semenanjung, Bukit Mertajam yang diterbitkan pada 1954. Dalam menangani kemelut politik ekoran penubuhan Malaysia, PAS telah menerbitkan semula buka ini pada 1963 dengan judul "Asas Falsafah Kebangsaan Melayu," sebelum ia turut diterbitkan di Jakarta oleh penerbit Tekad pada 1963 atas judul yang sama dengan penerbitan PAS. Karya ini dianggap tulisan Dr Burhanuddin al-Helmy yang paling berpengaruh, bahkan mewakili gagasan Melayu Raya yang diperkatakan sejak 1945 hingga akhir 1960-an.

Pada asasnya, buku ini menjelaskan bahawa geografi atau wilayah Melayu Raya adalah melibatkan "seluruh kawasan Indonesia dan Filipina, sedikit bahagian Pulau-pulau Jepun (Okinawa) dan Farmosa (Taiwan), riwayat kerajaan Sriwijaya adalah menunjukkan tali perkembangannya dan kawasannya juga. Maka Semenanjung Melayu dan negeri-negeri Melayu selatan Siam itu memang ada dalam kawasan yang serupa kedudukan geografi dan geopilotiknya...." Wilayah ini dikenali sebagai Alam Melayu atau Malay Archipelago atau Nusantara. Nama Melayu dikatakan telah wujud semenjak ribuan tahun dahulu dan bangsa Melayu telah mempunyai tamadun besar yang terbukti dengan kewujudan empayar seperti Sriwijaya, Majapahit, Melaka dan lain-lain, yang diperkuatkan oleh kedudukannya yang strategik, kesuburan tanah dan bahasa Melayu sebagai lingua franca.

Bangsa Melayu yang pernah beragama Hindu dan Buddha, telah menerima Islam sejak abad kelapan. Sejak itu, Islam menjadi asas bangsa Melayu di mana kekuatan bangsa Melayu akan menjadi sumber kekuatan Islam. Menurut buku ini, perjuangan bangsa bukanlah tujuan, sebaliknya menjadi alat untuk mencapai tujuan yang lebih besar iaitu menegakkan agama Allah dan mendirikan sebuah negara yang aman makmur. Menurut Dr Burhanuddin al-Helmy, orang Melayu mesti mempunyai wilayahnya sendiri untuk membolehkan mereka berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan bangsa lain.

Konsep Melayu Raya yang diketengahkan dalam buku ini adalah untuk mencantumkan seluruh Alam Melayu dalam sebuah kebangsaan sebagai rentetan daripada rasa cinta kepada tanah air (hubbul wathan), selain menjaganya dari dijajah atau dipermainkan oleh bangsa lain. Ia adalah satu konsep yang luas dan bebas dari pengaruh penjajah, sekali gus menjadikan Melayu Raya sebagai wilayah Islam yang kuat dan tidak boleh dijadikan buah dadu kuasa politik yang berkepentingan.


Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
18 Mei 2017