Sel09262017

Last updateIsn, 25 Sep 2017 3pm

Ensiklopedia Harian PAS - Sharifah Rahmah Al-Mashoor: Ketua Dewan Muslimat PAS Pertama

SEJARAH Dewan Muslimat PAS telah bermula seawal sejarah PAS itu sendiri kerana ia dibentuk sebaik sahaja PAS ditubuhkan pada akhir 1951. Cetusan penubuhan Dewan Muslimat PAS sebagai sayap kaum ibu telah dilontar sejak awal 1952 seperti mana yang disiarkan oleh Warta Negara pada 30 Januari 1952. Setelah itu, pada 3 April 1952, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah meluluskan pembentukan Dewan Muslimat PAS sebagai sebuah lajnah dalam Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Pada hari itu juga, PAS telah menamakan seorang tokoh wanita terkenal di Pulau Pinang, Sharifah Rahmah al-Mashoor sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS.

Sharifah Rahmah al-Mashoor yang dilahirkan di Pulau Pinang pada 1906 adalah anak kepada Syed Ahmad al-Mashoor atau lebih terkenal sebagai Tuan Habib al-Mashoor, seorang penghulu yang sangat terkenal di Pulau Pinang, di mana namanyalah yang diabadikan pada Madrasah al-Mashoor yang terkenal itu pada 1918. Di sebelah ibunya, Sharifah Rahmah al-Mashoor ialah cucu kepada Sheikh Haji Zakaria Basheer, mufti pertama Pulau Pinang yang juga salah seorang pengasas Madrasah al-Mashoor yang ketika ini terletak di Kampung Tuan Guru (atau nama asalnya dikenali sebagai Kampung Che Long). Sharifah Rahmah al-Mashoor kemudiannya menjadi menantu kepada Syed Sheikh al-Hadi, tokoh reformis yang sangat terkenal itu setelah beliau dikahwini oleh Syed Alwi al-Hadi, seorang tokoh wartawan yang terkenal juga.

Sharifah Rahmah al-Mashoor agak bertuah kerana lahir pada zaman peralihan di mana Pulau Pinang ketika itu menjadi pusat para ulamak reformis, khususnya di Madrasah al-Mashoor dan Madrasah al-Huda. Walaupun tidak berpeluang belajar di Madrasah al-Mashoor yang ketika itu belum ada kelas bahagian perempuan, tetapi beliau sempat bergaul dengan para ulamaknya, termasuk Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Abdullah Maghribi, al-Hafiz Ghulam Sarwar, Sheikh Abu Bakar Rafik dan Sheikh Tahir Jalaluddin. Beliau lebih banyak dididik oleh datuknya, Sheikh Haji Zakaria Basheer yang merupakan ulamak dan mufti yang dihormati Pulau Pinang ketika itu.

Perkahwinan beliau dengan Syed Alwi al-Hadi telah membawa beliau ke medan politik, khususnya selepas Perang Dunia Kedua di mana Syed Alwi bukan sahaja pengasas Umno, tetapi juga merupakan Ketua Penerangan Umno yang pertama. Pada mulanya beliau terlibat dengan The Young Muslim Union yang dipimpin oleh SM Zainal Abidin dan Syed Alwi al-Hadi, sebelum menyertai Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) selepas Perang Dunia Kedua. Pemenang telah terlibat mengasaskan Umno pada 1946 di mana Syed Alwi al-Hadi menjadi salah seorang pemimpin pentingnya. Sejak itu, Sharifah Rahmah al-Mashoor menjadi aktivis Umno Pulau Pinang bersama beberapa tokoh wanita seperti Dasimah Dasir dan Cik Jah Said.

Tindakan ulamak-ulamak dalam Bahagian Agama Umno menubuhkan PAS pada 23 Ogos 1951 telah mendapat perhatian tokoh agama di Pulau Pinang, terutama di kalangan reformis seperti Sheikh Ibrahim Aqibi, murid Sheikh Abdullah Maghribi. Pada 9 Mac 1952, mereka telah mengumpulkan umat Islam di Bandar Pulau Pinang (Georgetown) dan menubuhkan PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang sebagai cawangan PAS yang pertama. Sharifah Rahmah al-Mashoor turut dipilih sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang.

Pada 3 April 1952, apabila cadangan menubuhkan Dewan Muslimat PAS diluluskan, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah melantik Sharifah Rahmah al-Mashoor sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS. Pada peringkat ini, tidak banyak langkah yang diambil untuk memajukan Dewan Muslimat PAS, tetapi beliau berjaya mengemukakan usul kepada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953 supaya Dewan Muslimat PAS dinaiktarafkan sebagai sebuah sayap kaum ibu PAS seperti yang ada pada hari ini.

Satu pengalaman pahit terpaksa dihadapi oleh Sharifah Rahmah al-Mashoor dalam memimpin Dewan Muslimat PAS kerana ketika ini berlakunya pertembungan di antara Kaum Muda pimpinan Sheikh Ibrahim Aqibi (Ketua PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang) dengan Kaum Tua pimpinan Sheikh Abdullah Fahim (Ketua Dewan Ulamak PAS) yang akhirnya membawa kepada pembubaran PAS cawangan tersebut pada 1953. Sebagai aktivis Kaum Ibu Umno pula, beliau terpaksa berhadapan dengan penguatkuasaan disiplin parti dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga pada 12-14 Ogos 1954 di mana ahli PAS tidak dibenar menjadi ahli parti lain, yang memaksa beliau mengikuti suaminya kekal bersama Umno dan meninggalkan PAS.

Setelah ditinggalkan oleh Sharifah Rahmah al-Mashoor pada 1954, Dewan Muslimat PAS yang terbengkalai sejak awal 1953 kerana krisis khilafiyah, hanya pada tahun 1956 baharulah Dewan Muslimat PAS dapat bernafas semula setelah Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kelima pada 23-25 Disember 1956 meluluskan usul menubuhkan semula Dewan Muslimat PAS dengan melantik Ustazah Zabidah Ali sebagai ketuanya. Pada 13 Disember 1957, satu kongres muslimat telah berjaya menubuhkan Dewan Muslimat PAS secara rasmi. Sharifah Rahmah Syed Ahmad al-Mashoor yang meninggalkan PAS tetapi tidak lagi aktif dalam Umno telah meninggal dunia pada 22 Disember 1984 dan disemadikan di Kubur Syed, Pulau Pinang.


Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
20 Mei 2017