Rab04262017

Last updateSel, 25 Apr 2017 5pm

Back Utama Pusat Ketua Penerangan Al Bayaanul Mubin. Siri 37 : Perpaduan Islam

Al Bayaanul Mubin. Siri 37 : Perpaduan Islam

Al Bayaanul Mubin. Siri 37

PERPADUAN ISLAM

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat


1. Ummat Islam wajib bersatu. Jangan berpecah belah justeru itu adalah larangan Allah swt. Lihat penyata wahyu :

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu berpecahbelah dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

Surah Aali Imran : 103

2. Perpaduan adalah kalimah suci dan mulia namun bergantung kepada objektif dan matlamatnya. Bersatu padu mestilah diikat dengan Tali Allah iaitu Al Islam. Kebenaran tidak boleh bersatu dengan kebathilan malah wajib berpisah dan berpecah antara Haq dan Bathil. Ia telah ditegaskan oleh Allah swt :

Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan (janganlah) kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.

Surah Al Baqarah : 42

3. Menyatupadukan ummat Islam bagi mengembalikan kekuatan ummah dan menjulang kemuliaan Islam wajib dilakukan dan diterima secara positif oleh semua pihak.

4. Perpecahan ummat Islam akan memulangkan fitnah kepada Islam dan ummatnya. Kecelakaan dan kebinasaan bakal menimpa mereka. Hilang kekuatan dan kehebatan ummah dimata musuh-musuh Islam. Lihat bagaimana Allah swt membuat ketetapan :

Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu bertelingkah antara satu sama lain; kalau tidak nescaya kamu akan celaka dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.

Surah Al Anfaal : 46

5. Musuh Islam memang sesak nafas dan sebak dada menyaksikan usaha ummat Islam menyatupadukan saf mereka dengan Islam menjadi agenda utama. Mereka tidak mahu ummat Islam bersatu padu sebaliknya mereka mahu ummat Islam selamanya berpecah belah.

6. Pelbagai propaganda dan provokasi dicetuskan agar ummat Islam terus terperangkap dalam krisis perpecahan yang berpanjangan. Saat ummat Islam pecah dan retak, mereka datang dengan gerakkerja yang terancang untuk menghancurkan ummat Islam secara berperingkat. Ia telah didedah oleh Allah swt bagaimana pelan tindakan dan modus operandi musuh Islam.

Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak.

Surah An Nisa' : 102

7. Ummat Islam yang mutadayyin (kuat pegangan agamanya) pasti akan memikirkan apa yang diperintah oleh Allah swt sehingga akhirnya mereka mampu menunaikan perintah tersebut. Iklim sosial dan politik hari ini menjadi faktor untuk ummat Islam kembali bangkit menjulang izzah (kehebatan) mereka dengan memperkukuh dan menyatupadukan tenaga mereka.

8. Islam dan syariatnya mesti menjadi sendi utama pada penyatuan ummah ini. Bukan kepentingan politik dan agenda kuasa pihak tertentu. Tetapi mengangkat kepentingan Islam dan ummatnya. Berpaksi kepada perlaksanaan syariat Islam dan mengembalikan sistem politik serta ekonomi yang patuh syariah.

9. Penyatuan ummat Islam mesti diusaha dan dilunaskan sepanjang masa. Ia tidak boleh tertakluk kepada musim tertentu yang akhirnya menyerlahkan kepentingan tertentu yang berselindung disebalik seruan perpaduan.

10. Perpaduan Ummat Islam adalah satu kewajipan yang merentas sempadan bangsa, kaum, parti politik dan daerah penempatan. Fakta menzahirkan betapa musuh Islam tidak mengenal sempadan itu. Mereka mensasarkan Islam dan ummatnya tanpa mengira rupa dan garis sempadan. Maka ummat Islam mesti bangkit memperjuangkan Islam dan menyatukan ummah dengan Islam.


Inilah Penyelesaian Kita

Sekian.