Rab04262017

Last updateSel, 25 Apr 2017 5pm

Back Utama Pusat Ketua Penerangan Perutusan Maulidur Rasul 1438H: Baginda saw. Adalah Obor Ummat Akhir Zaman

Perutusan Maulidur Rasul 1438H: Baginda saw. Adalah Obor Ummat Akhir Zaman

Al Bayaanul Mubin. Siri 48

Perutusan Maulidur Rasul 1438H:
Baginda saw. Adalah Obor Ummat Akhir Zaman


1. Esak tangis para tetamu Allah swt di Raudhah NabiNya saw mempamerkan kerinduan yang sangat tinggi. Munajat yang diluah mencerminkan sebuah keinsafan yang mendalam terhadap kecuaian diri mereka. Seperti tiada lagi esok bagi kehidupan ini. Segalanya dihitung dengan penuh syahdu mengharapkan keampunan dari Allah swt.

2. Sebahagian yang lain beriktikaf seraya khusyuk membaca Al Quranil Kareem, mengamati bait-bait wahyu dengan suara yang sangat mendekam jiwa. Sungguh indah detik sebegini. Hanya air mata mengalir tatkala mata teralih arah ke Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw. yang berada di sebelah kiri Mimbarnya.

3. Biarpun lebih 1400 tahun Baginda saw telah meninggalkan ummat ini, ternyata masih ada yang merinduinya serta berselawat dan mengucap salam keatasnya. Meskipun tidak pernah bersua wajah, namun kesan kasihnya Nabi saw terhadap ummat ini terus dapat dirasai melalui ziarah yang tidak pernah putus dari ummat Islam ke Masjidin Nabawi.

4. Sebagaimana kita semua mengetahui bahawa Nabi saw yang telah meninggalkan kita sejak sekian lama, tidaklah meninggalkan apa - apa kepada ummatnya melainkan hanyalah dua perkara besar iaitu Al Quran dan Sunnah. Sabda Rasulullah saw :

Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara. Tidak sesat selamanya jika kamu berpegang dengan keduanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah NabiNya.

Riwayat Imam Malik.

5. Menjadi keperluan sepanjang zaman bagi meletakkan ummat ini hebat dan mulia ialah mengembalikan kebergantungan ummah kepada Al Quranil Kareem dan Sunnah An Nabawiyah. Andai dua perkara ini dikesampingkan dalam kehidupan ummat ini, maka nyatalah penyelewengan dan penyimpangan dari jalan yang lurus. Sekaligus menjerumuskan ummah ke lembah hina dan nista.

6. Selayaknya sambutan Maulidur Rasul saw yang disambut oleh ummat Islam di seluruh dunia menjadi paksi untuk mengembalikan kesedaran mereka agar menghidupkan Al Quran dan Sunnah dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara masing-masing.

7. Inilah nilai dan erti sebenar dari anjuran para alim ulamak ketika meraikan Maulidur Rasul saw. Inilah objektif utama kenapa Maulidin Nabi saw disambut saban tahun. Ia menjadi turning point untuk kembali mendekatkan ummah kepada Nabi saw sekaligus mencetus semangat juang menelusuri seerah perjuangan Baginda saw.

8. Tiadalah makna perarakan maulud, alunan marhaban dan jamuan berhidang pada hari keraian Maulidur Rasul saw jika ia hanya terhenti setakat itu, sedang ummah masih lena dibuai fatamorgana dunia yang menipu daya. Tiada nilai aneka anugerah tokoh jika ketokohan Baginda saw yang diutus oleh Allah swt tidak diteladani dengan penuh sedar dan insaf.

9. Al Quran dan Sunnah ini wajib ditegakkan segala tunjuk ajar dan pedomannya oleh setiap individu muslim. Kita tidak boleh beretorik dengan sekadar mengalunkan nasyid dan nazam yang memuja-muji Rasulullah saw sedang realiti kehidupan kita terlalu jauh dari praktis wahyu dan sunnah yang sebenar.

10. Ummat ini hanya menjadi hebat apabila *menjulang wahyu Allah swt. Ummat ini hanya menjadi unggul apabila menghidupkan sunnah Nabi saw.

Sekian.

Salam Perjuangan dari Raudhah Nabi saw.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat