Ahd04302017

Last updateAhd, 30 Apr 2017 2pm

Back Utama Pusat Ketua Penerangan Pindaan Akta 355 : Antara Pejuang dan Petualang.

Pindaan Akta 355 : Antara Pejuang dan Petualang.

Al Bayaanul Mubin. Siri 51
31 March 2017 | 03 Rejab 1438H

Pindaan Akta 355 : Antara Pejuang dan Petualang.

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat.


1. Akta 355 ialah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang dibuat dalam parlimen pada tahun 1965 dengan hukuman serendah 6 bulan penjara dan RM1000 denda bagi kesalahan yang disenaraikan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Sejak pindaan 1984, hukumannya statik pada 3 tahun penjara, RM5000 denda dan 6 kali sebatan.

2. Cadangan meminda Akta 355 pada tahun 2016 adalah usaha ummat Islam untuk mempraktiskan ajaran Islam yang termaktub di dalam Al Quranil Kareem. (Surah An Nuur ayat 2 dan ayat 4)

3. Iaitu memuktamadkan 100 kali (sebatan syariah) bagi kesalahan zina, 80 kali bagi kesalahan qazaf (tuduhan zina tanpa saksi). Sementara 40 kali bagi kesalahan minum arak sebagaimana sabit di dalam hadis Nabi saw.

(Sementara jumlah hukuman RM100K denda dan 30 tahun penjara seperti yang dicadangkan dalam usul pindaan adalah jenis hukuman takzir yang terbuka kepada perbahasan bagi menentukan jumlah yang akan disepakati)

4. Justeru itu, ia menjadi satu kewajipan kepada ummat Islam tanpa mengira latar belakang parti politik untuk memperjuangkan perlaksanaan syariat Islam sehingga ia dapat dipraktiskan di atas tanahair kita.

5. Ahli parlimen muslim pula mempunyai tanggungjawab langsung bagi memastikan perintah Allah swt itu dapat dilaksanakan melalui pindaan Akta 355 yang akan dibentang dan dibahaskan di parlimen kelak.

6. Mereka yang insaf dan sedar tanggungjawabnya sebagai seorang muslim, pula diberi mandat sebagai penggubal dasar maka mereka mesti berjuang dengan pelbagai keupayaan yang dimiliki untuk mencari 1001 jalan bagi melepasi segala halangan, kekangan dan cabaran yang dihadapkan kepada mereka.

7. Sementara mereka yang mengaku muslim tetapi mencipta 1001 alasan untuk menyulitkan usaha perlaksanaan syariat Islam ini, malah merancang secara halus untuk menggagalkannya adalah sang petualang.

8. Lebih malang, petualang ini merelakan diri untuk bersekongkol dengan musuh Islam dan suka menjadi "terompah kayu" kepada golongan anti Islam untuk merencana pelbagai alasan dan hujjah bagi menolak serta menggagalkan usaha mengangkat dan menobatkan syariat Islam dalam sistem perundangan negara.

9. Kata nista, cercaan dan penghinaan kepada mereka yang berusaha dan berjuang untuk menegakkan Syariat Islam adalah suatu sunnatullah. Tiada apa yang perlu diresahkan oleh para pejuangnya. Hanya bersabar, berusaha dan bertawakkal kepada Allah swt.

10. Jelas tidak keruan ialah sang petualang. Mereka "tidak sedap duduk" selagi tidak berjaya menggagalkan perlaksanaan syariat Islam melalui pindaan Akta 355. Raut wajah mereka jelas kelihatan gusar dan gelisah. Mereka kalut mencipta pelbagai tohmahan.

11. Mereka berlumba-lumba untuk menonjol diri dalam memberi alasan kenapa perlaksanaan syariat Islam melalui pindaan Akta 355 ini wajar ditolak, supaya mereka mendapat tempat dimata golongan anti Islam. Untung-untung dapatlah 3 atau 4 kerusi untuk mereka bertanding dalam pilihanraya kelak.

12. Sebahagiannya tak sabar-sabar mempamerkan wajah gembira yang amat sangat apabila terdapat satu dua perkara yang menjadi point untuk mereka ketengahkan kepada khalayak supaya usaha melaksanakan syariat Islam dengan meminda Akta 355 ini gagal. Mereka mahu dan suka jadi petualang.

13. Bagi sang pejuang, oleh kerana usaha untuk meminda Akta 355 ini adalah untuk melaksanakan Syariat Allah swt. Biar 1001 satu halangan dihadapkan kepada mereka, mereka tenang melangkah, berserah kepada Allah swt Tuhan Yang Maha Kuasa.

Sabda Nabi saw :

Jika engkau meminta, mintalah kepada Allah. Jika engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah.

Dan ketahuilah, sungguh seandainya umat ini bersatu untuk memberikan suatu kemanfaatan kepadamu, maka mereka tidak akan dapat memberinya, kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan atasmu. Dan seandainya mereka bersatu untuk mendatangkan suatu kemudharatan kepadamu, maka mereka tidak dapat mendatangkannya, kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan atasmu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah mengering.”

(HR. Tirmidzi, dan ia mengatakan: Hadits Hasan)

Perkasakan Syariat Rakyat Sejahtera

Sekian.