Rab08232017

Last updateSel, 22 Ogs 2017 6pm

Back Utama Pusat Ketua Penerangan Kenyataan Media Penerangan. 125: Harga Petrol, Diesel: Laksana Harga Siling Kekal, Beri Subsidi Bersasar

Kenyataan Media Penerangan. 125: Harga Petrol, Diesel: Laksana Harga Siling Kekal, Beri Subsidi Bersasar

Kenyataan Media Penerangan. 125
17 April 2017 | 20 Rejab 1438H

HARGA PETROL, DIESEL : LAKSANA HARGA SILING KEKAL, BERI SUBSIDI BERSASAR

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat


1. Penetapan harga runcit petrol dan diesel secara mingguan bermula 29 Mac lalu sudah mula memberi kesan terhadap pertambahan kos yang perlu ditanggung oleh pengguna.

2. Walaupun pengguna menikmati penjimatan sebanyak 17 sen (bagi RON95) pada minggu pertama, namun harga runcit bahan api itu telah meningkat sebanyak 11 sen hanya dalam tempoh 3 minggu sahaja; lebih cepat berbanding penetapan secara bulanan.

3. Mungkin kesan psikologi penetapan harga runcit bahan api secara mingguan ini boleh membantu mengurangkan rasa terbeban dalam kalangan pengguna, pun begitu jumlah kos sebenar bagi bahan api yang perlu ditanggung oleh pengguna tetap meningkat justeru mengurangkan jumlah pendapatan boleh guna seseorang pada setiap bulan.

4. Pada masa harga minyak mentah dunia sedang meningkat naik disebabkan pelbagai faktor dan nilai Ringgit pula masih berada pada paras yang rendah, harga runcit bahan api di negara ini memang dijangka akan berterusan meningkat.

5. Sekiranya tiada mekanisme kawalan dilaksanakan, beban kos sara hidup rakyat di negara ini akan semakin bertambah dengan lebih cepat lagi.

6. Oleh itu saya menggesa Kerajaan supaya menetapkan suatu harga siling kekal (contohnya, kekal selama tempoh 6 hingga 12 bulan) yang berpatutan bagi harga runcit bahan api di negara ini dan memberikan subsidi kepada pengguna sekiranya ia diniagakan melepasi paras harga siling ini.

7. Bagi memastikan subsidi ini tetap dapat diberikan secara bersasar, pelbagai mekanisme tambahan seperti pengenalan kad khas boleh dilaksanakan.

Sekian.

“Inilah Penyelesaian Kita”