Rab05242017

Last updateRab, 24 Mei 2017 9pm

Back Utama Pusat Ketua Penerangan PAS Kekal Bersama Gagasan Sejahtera

PAS Kekal Bersama Gagasan Sejahtera

Kenyataan Media Penerangan. 129/1
9 May 2017 : 12 Syaaban 1438

PAS Kekal Bersama Gagasan Sejahtera

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat


1. Saya terbaca satu keratan akhbar bertajuk 'Ku Nan: Up to PAS to Return to UMNO Fold' terbitan The Star. Kenyataan itu memberi gambaran seolah-olah PAS ingin kembali ke pangkuan UMNO sepertimana dakwaan beliau lahirnya parti ini dari sayap UMNO (Biro Agama dan Pelajaran UMNO).

2. Pertama, UMNO dan pimpinannya terlebih dahulu perlu membaca sejarah penuh tentang penubuhan PAS dari pelbagai sudut, jangan hanya diambil sudut kecil kemudian membuat kesimpulan yang tidak tepat.

3. Asasnya, PAS ditubuhkan oleh orang UMNO tetapi bukan sebagai sayap kepada UMNO. Dalam masa yang sama, PAS juga ditubuh oleh ahli-ahli Hizbul Muslimin selepas diharamkan pada 1948. Ini bererti bukan (ahli) UMNO sahaja yang terlibat dengan penubuhan PAS.

4. N.J Fuston dalam tulisannya 'Malay Politic in Malaysia, 1945-1969, A Case Study of the UMNO and the Pan-Malayan Islamic Party (PAS)' menyebutkan "PAS telah mewarisi tiga ideologi politik iaitu tradisi sosialis dari Malay National Party, tradisi modernisasi Islam yang dibawa oleh Hizbul Muslimin dan tradisi perjuangan badan-badan anti UMNO pada tahun 1950an."

(Buku "Saya Ahli PAS" tulisan Ustaz Azhar Yahya Al-Batawi, 2017).

Ini menguatkan lagi dakwaan bahawa tidak semudah itu untuk menjustifikasikan PAS sebagai "lahir dari sayap UMNO" semata-mata.

5. Kedua, PAS tetap bertegas tidak akan menyertai mana-mana blok yang lain apatah lagi kembali menyertai UMNO, sebaliknya PAS akan terus memberikan komitmen terhadap Gagasan Sejahtera. PAS terus akan kritikal memberikan pandangan, mengangkat isu nasional dan mengkritik sebarang pencemaran budaya politik dan ekonomi negara, disamping sedia bekerjasama dengan mana - mana pihak termasuk kerajaan dalam isu ummah dan melibatkan kepentingan agama Islam.

6. Sesuai dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), PAS akan memainkan peranan yang signifikan dalam arus perdana politik tanah air seterusnya jujur dalam mengkritik, tegas berpegang pada prinsip Islam berasaskan konsep keadilan dan kesatuan ummah serta mewujudkan semak dan imbang (check and balance) yang berkesan kepada pembangunan masa depan masyarakat dan negara.

7. PAS juga menasihatkan pemimpin UMNO supaya tidak perlu menjadikan "agenda hala tuju politik PAS" sebagai tema perhimpunan mereka esok. Mereka perlu menerima hakikat bahawasanya PAS akan terus berjuang membina "Negara Sejahtera Bersama Islam" dengan menjadikan Gagasan Sejahtera sebagai platform.

Sejahtera Bersama Islam

Sekian.