Ahd04302017

Last updateAhd, 30 Apr 2017 2pm

Back Utama Pusat Mursyidul Am Benteng Umat Dari Terpimpin Ulama Juhal

Benteng Umat Dari Terpimpin Ulama Juhal

 

SHAH ALAM: Usaha meramaikan ulama melibatkan diri dalam perjuangan dan pengembangan Islam perlu didokong agar umat tidak dipimpin oleh ulama-ulama juhala’ sesat lagi menyesatkan, demikian nasihat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin.

Menurutnya, peranan dan perhatian serius oleh kumpulan seperti Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz) telah menampung keperluan tersebut yang jika tidak dilaksana, akan menyebabkan umat memilih ulama juhala’.

“Allah tidak cabut ilmu itu secara kasar, tetapi dicabutkan ilmu daripada manusia ini dengan cara mematikan ulama. Ada ulama yang faham, faqih mati sehingga sampai satu ketika habis semua ulama, tak ada lagi dah ulama. Pada ketika itu orang ramai akan memilih ulama-ulama yang juhala’, yang jahil. Mereka memberi fatwa dan fatwa mereka itu sesat dan menyesatkan.

“Hari ini pun kita dah mula nampak, suara-suara ulama juhal. Ada dalam ‘facebook’ dalam ‘youtube’ dia tulis kata macam-macam. Orang nak buat yang baik pun mereka menjadi penentang. Mereka menolaknya dan mereka memberi cadangan-cadangan yang tidak menampakkan kebaikan dan kebajikan kepada perkembangan Islam dalam negara kita,” ujarnya pada Majlis Makan Malam Geng Ustaz, di sini baru-baru ini.

Serunya, para pendokong perjuangan Islam perlu menjadikan khidmat dan istiqamahnya sebagai amal yang akan dipersembahkan kepada Allah, Rasul dan orang Mukmin menepati sifat termaktub di dalam al-Quran dan hadis.

Beliau menyandarkan nasihatnya itu berdasarkan ayat 105 surah at-Taubah dan kisah Sahabat R.A iaitu Abu Dzar al-Ghifari yang kematiannya tepat sebagaimana pernah diungkapkan Rasulullah S.A.W.

Cerita beliau, pada tahun ke-9 Hijrah tentera Islam telah pergi ke medan Tabuk untuk menghadapi kekuasaan Rom dalam keadaan ekonomi dan kewangan yang sangat meruncing hingga peperangan dibiayai seadanya.

Di mana Abu Dzar telah pergi dengan untanya yang tua dan uzur, namun dipertengahan jalan unta itu gagal untuk terus melangkah, menyebabkan Abu Dzar terpaksa menuntun unta itu.

Akibatnya Abu Dzar lewat sampai di medan Tabuk dan saat tibanya disambut Rasulullah dengan kata-kata bahawa Abu Dzar akan mati keseorangan dan dibangkitkan keseorangan.

Pernyataan itu menghairankan para Sahabat kerana orang yang menyertai angkatan jihad akan mati keseorangan, namun benar apabila Abu Dzar hanya mati 20 tahun kemudian keseorangan diri di tengah padang pasir.

“Kita tak jangka Tok Guru Nik Aziz akan meninggalkan ketika itu, kita tak jangka Ustaz Fadhil yang ada di muktamar, balik dari muktamar terus meninggal. Kita tak jangka juga Dato’ Abu Bakar Chik, Ustaz Harun Taib dan kita tak jangka jugak Dato’ Dr Haron Din yang seminggu sebelum dia bertolak ke Amerika masih sempat untuk berjalan-jalan balik ke Sik, menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin.

“Kita tak jangka, tapi benda itu berlaku. Dan yang penting ialah mereka telah pun menamatkan hidup ini sepenuhnya dalam memberi khidmat semampu yang boleh kepada agama yang suci ini. Sebab itu apabila Presiden selalu menyeru dan mengajak kita beristiqamahlah kita dalam perjuangan ini. Kita tidak ada apa lagi yang kita nak persembahkan kepada Allah S.W.T.

“Mereka-mereka yang kita sebutkan yang kita ingatkan dan yang terdahulu daripada itu Tuhan ambil mereka, Tuhan matikan mereka. Maknanya, kalau kita tak buat persediaan apa-apa, akhir kita akan mendapat ulama juhal. Kerana itulah saya amat menjunjung tinggi segala usaha jamaah Geng Ustaz ini.

“Kita patut memberi sokongan usaha suci mereka untuk menyambung perjuangan pejuang-pejuang kita yang terbukti beristiqamah dalam perjuangan ini, dalam agama ini dan menabur bakti untuk kepentingan agama Allah S.W.T,” ujarnya mahu masyarakat menjejak tanggungjawab sama seperti NGO itu.

Menurutnya, kejayaan dan lambang kesedaran Islam di negara ini sudah menampakkan cahaya yang semakin memancar terang kini sebagaimana ditunjukkan pada Himpunan Menyokong Pindaan Akta 355 (H355) di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 18 Februari lalu.

Tetapi katanya, ia bukan baru bermula sebaliknya telah berlangsung sekurang-kurangnya sejak PAS ditubuhkan pada tahun 1951 dan generasi kini wajib terus menyumbang agar nur itu tidak padam dan malap kerana dikuasai oleh ulama-ulama juhal yang ada dalam negara ketika ini.

“Kita berada dalam zaman “tabbad”, zaman Islam ditekan, dan sekarang kita mula masuk zaman “iza jaa nasrullah”. Jarak masa antara dua itu cukup panjang antara “tabbad” dan “iza ja”. Kita bermula dengan “tabbad”, kita telah hadapi rintangan dan halangan nak menggerakkan agama ini. Tapi sekarang kita dah mula masuk langkah kaki kepada “iza jaa nasrullahi walfat”,” ujarnya menyuntik semangat.