Sab08192017

Last updateJum, 18 Ogs 2017 8pm

Kenyataan Media : Pengumuman Menghentikan Elaun Kepada Bakal Guru Amat Dikesali

 

Kenyataan Media Presiden Persatuan Gerakan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK).

16 Julai 2017 l 22 Syawal 1438 H

PENGUMUMAN MENGHENTIKAN ELAUN KEPADA BAKAL GURU AMAT DIKESALI

 

  1. Tindakan kerajaan yang telah membuat pengumuman akan menghentikan elaun sara hidup dan perjalanan kepada guru pelatih mulai Jun 2018 tahun hadapan sebagaimana yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon amat dikesali.
  1. Walaupun pembiayaan bagi mereka yang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) akan diteruskan, tetapi menghentikan elaun sara hidup dan perjalanan bermula tahun depan bagi bakal guru pelatih yang diharapkan suatu hari nanti khidmat mereka diperlukan untuk mendidik anak bangsa tidak dapat diterima sama sekali.
  1. Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan memandang serius perkara ini dan mempersoalkan apa rasionalnya tindakan ini dilakukan seolah-olah peranan mereka yang bakal mendidik anak bangsa dikesampingkan dan secara tidak langsung  dibimbangi bakal membunuh minat  bakal guru yang bercita -cita untuk menjadi pendidik yang baik suatu hari nanti.
  1. Cadangan agar guru pelatih disaran memohon pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menampung keperluan hidup mereka juga, dianggap tidak relevan dan membuktikan bahawa kerajaan seolah-olah tidak prihatin terhadap nasib bakal guru  seolah -olah berlaku diskriminasi dalam sektor pendidikan berbanding bidang pekerjaan yang lain.
  1. PENDIDIK juga melahirkan rasa kesal dengan sikap kerajaan yang melewatkan urusan penempatan guru pelatih  yang telah menamatkan pengajian. Sebagai contohnya  guru pelatih ambilan Julai 2013 hanya diberikan penempatan bermula pada bulan Jun 2017 setelah menganggur  selama hampir  6 bulan  atau  setengah tahun. Persoalannya, bagaimanakah ujuran penempatan yang telah dibuat untuk pengambilan bakal guru pelatih sehingga  pelaburan pendidikan  yang telah dibuat telah dibazirkan tanpa perancangan yang sistematik untuk membiayai bakal guru selama ini. Yang lebih malang lagi, guru pelatih yang mengambil opsyen Bimbingan & Kaunseling pula lebih lewat iaitu hanya ditempatkan pada Julai 2017. Cuba bayangkan , jika situasi ini berlaku pada masa akan datang , berapa lamakah mereka perlu menanti untuk sebarang urusan penempatan berkhidmat, sedangkan mereka terpaksa  meminjam PTPN dan berhutang sepanjang menuntut pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) pada masa akan datang.
  1. Kita perlu sedar bahawa profession perguruan adalah perkhidmatan yang sukar diukur dengan nilai ringgit dan tugas mendidik adalah suatu tugas yang mulia meskipun mencabar . Gaji mereka setelah menjadi guru hanyalah memadai untuk mereka dan keluarga menjadi golongan yang hidup dalam keadaan sederhana dan tidak mewah sebagaimana profession lain . Selain memiliki tangga gaji di tahap sederhana, mereka dibebani tugas-tugas perkeranian yang banyak walaupun fokus utama mereka adalah pengajaran dan pembelajaran murid di dalam kelas. Hanya insan yang memiliki kesabaran yang tinggi sahaja mampu menjadi seorang guru yang berdedikasi dan gigih dalam mendidik anak bangsa apatah lagi di zaman zaman IT dan era globalisasi yang penuh dengan cabaran dalam membentuk disipilin dan moral yang tinggi kepada anak bangsa.
  1. Justeru , PENDIDIK mendesak agar jangan disusahkan usaha mereka dalam menimba ilmu dan belajar pedagogi serta mendalami ilmu perguruan dan cara menghentikan elaun mereka sepanjang menuntut pengajian seterusnya seolah-olah mahu menggalakkan mereka berhutang. Persoalannya,mengapakah Program PERMATA NEGARA boleh diberikan peruntukan jutaan ringgit, sedangkan elaun guru pelatih mahu dihentikan pula?
  1. PENDIDIK juga melahirkan rasa kesal dengan tindakan kerajaan seolah -olah bersikap “double standard” dan mengamalkan sikap diskriminasi apabila mengumumkan pembiayaan bagi mereka yang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguran (PISMP) diteruskan tetapi dalam masa yang sama  menghentikan elaun sara hidup dan tuntutan perjalanan bagi guru pelatih bermula Jun 2018 ,tahun hadapan.
  1. Kerajaan dalam masa yang sama juga telah mengumumkan mereka yang mengikuti Program PISMP akan terus menerima RM430 sebulan untuk elaun sara hidup dan elaun perjalanan tidak lebih RM500 setahun sehingga mereka tamat pengajian .Selain itu, elaun dan yuran kursus di Institut Pendidikan Guru setahun bagi program pra-PISMP sebanyak RM8,163 juga akan dibayar oleh kerajaan. Apa yang menyedihkan, situasi ini tidak berlaku kepada bakal guru pelatih di mana elaun guru pelatih di IPG pula yang bakal dihentikan sama sekali berkuatkuasa Jun tahun depan.
  1. PENDIDIK mendesak agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneliti semula pengumuman yang telah dibuat dan mengambilkira nasib guru pelatih di IPG ini dan masih belum terlambat untuk menarik balik pengumuman yang dibuat sebagai langkah mengangkat martabat dan profession perguruan dalam persada politik negara.

*SEJAHTERA BERSAMA ISLAM*

Sekian,terima kasih .

Salam hormat:

Pn.Normala Binti Sudirman

1.Presiden Persatuan Gerakan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK).

2.Pengerusi Lajnah Pendidikan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor.