Isn08212017

Last updateSel, 22 Ogs 2017 9am

Back Utama Berita/Kenyataan DUPP Khutbah Jumaat : Tanggungjawab Untuk Merubah

Khutbah Jumaat : Tanggungjawab Untuk Merubah

Khutbah Jumaat
Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Tanggungjawab Untuk Merubah
3 Rejab 1438

 

Wahai hamba-hamba Allah, bertakwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan (bagi kehidupan dunia sehingga akhirat), maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah bertakwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertakwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita memahami dan mengikut peringatan daripada Allah SWT di dalam Al-Quran :

(Maksudnya) : Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang Kafir sesudah kamu beriman.

Peringatan ini sangat penting daripada Allah SWT dan diingatkan kepada Rasulullah SAW pada malam Isra’ dan Mikraj, diantara kalangan yang mengganggu perjalanannya ialah seruan Yahudi dan Nasrani. Diperingatkan oleh Malaikat Jibrail : “Wahai Muhammad, sekiranya engkau melayan ajakan dan seruan mereka, nescaya umatku akan terpesong menjadi Yahudi dan Nasrani.”

Di zaman Rasulullah SAW berlaku peristiwa yang sangat menarik untuk menjadi pengajaran kepada kita pada hari ini, apabila seorang paderi Kristian bernama A'di bin Hatem datang menyerah diri kepada Rasulullah SAW dalam keadaan di lehernya tergantung salib, lambang agama Kristian. Sebaik sahaja melihat salib yang tergantung di lehernya, maka Nabi SAW menyebut Firman Allah SWT :

(Maksudnya) : Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai Tuhan-tuhan selain daripada Allah dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibn Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan yang Maha Esa ; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.

Lalu A'di bin  Hatem  menjawab : “ Wahai Muhammad, kami tidaklah menyembah paderi dan pendeta kami, kami juga menyembah Allah.”

Lalu Rasulullah SAW menyatakan : “Kamu memakai hukum-hukum yang direka oleh paderi-paderi dan pendeta-pendeta kamu yang mengadakan hukum dan undang-undang sendiri dalam hukum yang sudah ada di dalam Taurat dan Injil sehingga menghalalkan yang diharamkan dan mengharamkan yang dihalalkan mengikut paderi dan pendeta kamu, bukan mengikut syariat Allah SWT. Itulah makna kamu mengadakan hukum-hukum yang lain atau kamu menyembah Tuhan-tuhan yang lain daripada Allah.”
Menyembah Tuhan yang lain daripada Allah itu bukan sahaja bermaksud menyembah patung dan berhala. Ia termasuk percaya kepada hukum-hukum dan undang-undang yang lain daripada hukum dan undang-undang Allah SWT.

Tidakkah Allah berFirman :


(Maksudnya) : Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?

Setelah umat Islam dilanda oleh zaman penjajahan, penjajah Kristian yang menakluk negara kita membuang syariat Allah SWT yang diamalkan dalam cara hidup umat Islam. Yang tinggal hanya hukum ibadat dan hukum keluarga berkait fasak dan waqaf sahaja. Hukum dan undang-undang berkait kehidupan manusia yang lain ditinggalkan dan digantikan dengan undang-undang penjajah.

Walaupun kita telah mencapai kemerdekaan, penjajah sudah tidak ada lagi, tetapi warisan penjajah ini masih lagi menguasai umat Islam. Kita mempunyai tanggungjawab dan kewajipan yang besar membebaskan diri kita daripada saki-baki warisan penjajah ini. Kalau di zaman orang Islam menghadapi penaklukan Kaum Tatar yang ganas yang membunuh dengan kejam sehingga Baghdad menjadi kolam darah. Mereka memaksa umat Islam memakai undang-undang yang dinamakan Yasak, undang campuran antara Islam, Yahudi dan Kristian. Ulama di zaman itu menentang sekeras-kerasnya meminta umat Islam menolak peraturan itu kerana kita sudah mempunyai syariat Allah yang terkandung di dalam ajaran Islam.

Kita mempunyai tanggungjawab yang besar dalam melakukan perubahan ini.

(Maksudnya) : Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyyah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari Allah.