Rab08232017

Last updateSel, 22 Ogs 2017 6pm

Back Utama Berita/Kenyataan DUPP Lawatan DUPP ke Pusat Pesantren Daaurut Tauhid Bandung

Lawatan DUPP ke Pusat Pesantren Daaurut Tauhid Bandung

LAWATAN DEWAN ULAMAK PAS PUSAT KE PASANTREN DAARUT TAUHID, BANDUNG

Oleh Ustaz Abu Nuha | 14 Mei 2017


Bandung - Rombongan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) hari ini melakukan lawatan ke Pasantren Daarut Tauhiid, sebuah pusat pengajian yang diasaskan oleh pendakwah terkenal, KH Abdullah Gymnastiar yang lebih mesra dipanggil Aa Gym.

Kunjungan DUPP yang diketuai oleh ketuanya, Dato' Dr Mahfodz Mohammad telah disambut oleh Ustaz Mohammad Hanafi, Wahyu Prihartono dan Ustaz Mumuh Abdul Muhyi bagi pihak Aa Gym yang kini sedang berada di Australia dalam rangka program dakwah.

Menurut mereka, Daarut Tauhiid yang diasaskan sejak tahun 1990 itu menekankan tiga asas jati diri kepada semua santri iaitu melahirkan ahli fikir, ahli zikir dan ahli ikhtiar.

Kompleks Daarut Tauhiid di Gegerkalong Bandung yang berkeluasan dua hektar turut menempatkan masjid, bangunan-bangunan premis perniagaan, klinik kesihatan, dewan serbaguna, pusat asuhan bayi, hotel, rumah anak yatim, stesen televisyen dan radio sendiri (MQTV dan MQFM) dan rangkaian sekolah rendah, menengah dan tahfiz. Mereka juga mengendalikan pelbagai kursus jangka pendek dan sederhana kepada pelbagai peringkat termasuk warga emas yang hendak mendalami ilmu asas agama.

Selain di Bandung, Daarut Tauhiid juga mempunyai 20 cawangan seluruh Indonesia dan masing-masing satu di Palestin, Taiwan dan Thailand. Pihak mereka juga sedang mengatur langkah untuk menambah cawangan di Australia dan Amerika selain sasaran utama dalam negara Indonesia sendiri.

Aa Gym mempunyai pengikutnya dan pengaruhnya tersendiri dalam dunia dakwah termasuk pemerintah di Indonesia dan Nusantara termasuk pernah mempunyai rancangan televisyen di Astro Oasis satu ketika dahulu selain ratusan rakaman kuliah dan ceramahnya yang boleh diikuti melalui Youtube.

Dalam reaksi balasnya, Dato' Dr Mahfodz Mohamed mengucapkan tahniah di atas kejayaan dakwah Daarut Tauhiid memberi kesedaran beragama kepada segenap lapisan masyarakat. DUPP turut menyampaikan undangan kepada Aa Gym dan Pimpinan Daarut Tauhiid untuk menghadiri Ijtimak Perpaduan Ummah Rantau Asia dan Persidangan Ulamak Rantau Asia & Timur Jauh yang akan diadakan pada 20-21 Julai akan datang di Kota Bharu Kelantan.

Lawatan empat hari DUPP ke Bandung dan Jakarta dikelolakan oleh Ustaz Mohammad Ismi Mohd Taib, selaku Ketua Lajnah Antarabangsa DUPP merangkap Pegawai Khas Presiden PAS. Turut menyertai Ustazah Ana Masthura Ismail Pengerusi Lajnah Pembangunan 'Alimat, Ustaz Anuar bin Morat, Ustazah Fauzi Husain, Ustazah Azah Hashim, Ustaz Mohd Sofian Hj Rejab dan Hj Hamid Alang.