Rab08232017

Last updateSel, 22 Ogs 2017 6pm

Back Utama Artikel PAS Negeri Johor PAS Segamat Santuni Golongan Asnaf Sempena Ziarah Cakna Ramadhan

PAS Segamat Santuni Golongan Asnaf Sempena Ziarah Cakna Ramadhan

Segamat , 15 Jun 2017 - Parti Islam SeMalaysia (PAS) meneruskan agenda menyantuni masyarakat khususnya golongan asnaf yang terdapat di beberapa lokasi di sekitar Segamat. Bermula pada 13 Jun yang lalu, PAS kawasan Segamat melalui program Konvoi Cakna Ramadhan 1438 telah menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di Bukit Tunggal dan Tebing Tinggi. Seramai 32 keluarga telah berjaya disantuni dan seterusnya menerima sumbangan yang disediakan.

Manakala pada 14 Jun pula, seramai 26 keluarga telah diziarahi di beberapa kampung di sekitar Jementah, di antaranya adalah Kampung Sungai Siput, Kampung Pasir Panjang, dan Kampung Kubu Dedap   yang terletak tidak jauh daripada pekan Jementah. Sebahagian besar daripada penerima sepanjang program dua hari tersebut adalah terdiri daripada golongan ibu tunggal dan fakir miskin.

Konvoi Cakna Ramadhan 1438 PAS Segamat ini telah diketuai oleh Khairul Faizi Ahmad Kamil, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Haji Moin bin Abdul                       (Naib Yang Di Pertua PAS kawasan Segamat), Puan Norzahrah binti Abd. Wahab (Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan Segamat), Encik Amran bin Abd Ghani               (Pengerusi Pusat Aduan Rakyat Segamat) dan beberapa pimpinan PAS kawasan Segamat yang lain.

Sementara itu, pada minggu lalu, PAS Segamat telah menyantuni keluarga di Kampung Balai Padang, Perkampungan Orang Asli Kampung Puting, Kampung Spang Loi dan Kampung Kuala Paya. Haji Moin selaku Naib Yang Di Pertua PAS kawasan Segamat merakamkan ucapan terima kasih kepada para penyumbang, petugas dan semua pihak yang membantu merealisasikan program pada tahun ini.

"Semoga segala kerja buat yang telah dilakukan akan mendapat keredhaan daripada Allah,” ujar beliau.

"Kami memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan dan kelemahan sepanjang program ini dijalankan,” tambah beliau.

Konvoi Cakna Ramadhan 1438 telah berjaya menyampaikan sumbangan sebanyak 110 keluarga dan akan meneruskan program ini pada baki Ramadhan yang sedang dilalui.