Sab07222017

Last updateJum, 21 Jul 2017 10am

Back Utama Artikel PAS Negeri Kelantan 162 jurulatih pilihan raya sedia pertahan Kelantan

162 jurulatih pilihan raya sedia pertahan Kelantan

BAGI menghadapi pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi PAS Kelantan menggembling usaha melahirkan ramai petugas yang pakar dalam pengendalian pilihan raya.

Sehingga sekarang terdapat 162 petugas di seluruh Kelantan yang dilatih sebagai penggerak  bagi memantapkan jentera pilihan raya.

Mereka mengikuti beberapa siri latihan berasaskan modul disediakan Institut Latihan Pilihan Raya PAS (ILPAS).

Sehingga kini siri kursus diadakan di hampir seluruh kawasan parlimen di Kelantan, selepas pelancaran diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) pada akhir tahun lepas.

Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, ILPAS Kelantan mempunyai 30 jurulatih di peringkat negeri.

Katanya jurulatih terbabit berperanan melatih petugas pilihan raya di peringkat negeri dan Dun.

"Visinya melatih jentera pilihan raya PAS menjadi lebih terulung bagi memenangi pilihan raya.

"Latihan yang diberi memberi kefahaman yang lebih jelas tentang dasar, misi, visi dan matlamat PAS menyertai pilihan raya.

"Ia berpandukan ilmu aqidah, perundangan, organisasi dan gerak kerja teknikal pilihan raya," katanya pada taklimat pengurusan ILPAS Kelantan sempena program tadarus dan iftar.

Tadarus diketuai Pengarah Institut Latihan Perguruan Kelantan, Ustaz Wan Hamdi Abdul Ghani. Hadir sama Pengarah ILPAS negeri, Nik Bahrum Nik Abdullah.

Di peringkat parlimen dilantik ketua ILPAS kawasan, manakala di Dun pula terdapat penyelaras.

ILPAS negeri mempunyai wakil pengarah pilihan raya Dewan Ulama, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda, Ketua Ameerah Negeri, ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS dan ketua ILPAS kawasan.

Wan Nik juga berkata ILPAS juga melatih 30 jurulatih di peringkat parlimen dan 10 mewakili setiap Dun. – HARAKAHDAILY 23/6/2017