Sab07222017

Last updateJum, 21 Jul 2017 10am

Back Utama Artikel PAS Negeri Sabah Muraja'ah : Islam Itu Kaaffah

Muraja'ah : Islam Itu Kaaffah

 

Nota Kaki Dakwah

MURAJA'AH : ISLAM ITU KAAFFAH

• Membincangkan kehebatan agama Islam bukan sekadar berkata berkisar ibadah dan hukum semata, isu yang berkisar tentang masjid, nikah kahwin, aqiqah atau ritual yang dilorekkan dengan amalan-amalan rohani yang khususiah sahaja. Namun berbincang tentang Islam adalah persoalan lebih melebar mengetengahkan cara hidup yang sempurna dengan segala aspek sama ada kerohanian mahupun sistem yang lengkap dan bersepadu. Inilah Mahasinul Islam (Keindahan Islam) yang sebenar. Atas dasar inilah Allah berfirman di dalam Al Quran : 

 

Katakanlah wahai orang-orang yang beriman "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".

• Sifat Kaaffah yang ada pada Islam membezakan ajaran yang berselerak di sekeliling kehidupan peradaban manusia. Ajaran dan kepercayaan yang tidak menyatupadukan kehidupan dunia dan akhirat secara saksama. Menafikan peranan dunia menuju akhirat sehingga wujudnya ketidakstabilan dalam kehidupan & sosial serta negara (daulah).

• Umpamanya kewujudan gerakan Sekularisme disebalik kepercayaan Nasrani pasca Nabi Isa. Pemikiran ini satu masa dulu pernah menyerang tamadun barat setelah asalnya pemuka agama mereka mengongkong kehidupan bersistem yang akhirnya hari ini menjadi pegangan sebahagian muslim yang jahil dan tidak kesedaran.

• Islam juga berbeza dengan ajaran yang mengagungkan materi-materi dunia hingga menjadikan ia sebahagian dari tuhan sehingga tergelincir ke lembah syirik dan tahyul yang memandulkan akal minda. Islam berbeza dengan ajaran yang menafikan kewujudan dunia sehingga memboikot fitrah yang selari dengan peredaran dunia menyebabkan manusia hilang pertimbangan sehingga membina "dunia misteri" menuju akhirat khayalan yang pelik dan ganjil.

• Islam bukan agama yang membodohkan manusia dan bahkan jauh sekali memperlekehkan peranan fitrah sedangkan Islamlah agama yang bersifat fitrah. Islam adalah Islam yang dibina Allah yang sesuai untuk kehidupan dunia dan tuntutan fitrah serta akhirat. Firman Allah 

 

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

[Al Maaidah : 3]

• Syeikh Abdul Hadi Awang hafizallahu 'alaih  menjelaskan ayat di atas dalam makalah bertajuk "Islam sebagai Al Din dan Kewajipan Menghayatinya" menegaskan Islam yang diwahyukan oleh Allah kepada Rasulullah tidak harus disamakan dengan pengertian agama menurut fahaman umum. Kerana ianya adalah agama fitrah yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia, rohani,dan material, individu dan masyarakat, agama dan politik serta segala urusan dunia dan akhirat. 

• Islam sebagai Way Of Life, peraturan yang mengatur hidup dan kehidupan manusia. Satu peraturan dan pedoman hidup dalam semua aspek kehidupan manusia. Ubat yang mujarab untuk mengatasi dan memperbaiki masyarakat.

• Penjelasan Naib Kesatuan Ulamak Dunia ini, terang memaparkan keluasan peranan Islam dalam rangka mempengaruhi perjalanan manusia didunia menuju kesatuan akhirat. Tidak pernah ada konsep pengasingan dunia dan akhirat.

• Tidak timbul racun membahagikan urusan dunia mengikut selera nafsu manusia. Tidak timbul Islam suku, dunia suku, Islam suku politik dan ekonomi suku. Begitulah sifaf asas Islam yang bersifat Syumuliah yang ditarbiah dan diperjuangkan Rasulullah SAW dan generasi Islam hakiki selepasnya. Allah menyeru manusia dalam firman-Nya :

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata

• Islam yang sebenar bukan hanya mentauhidkan Allah dalam aspek taabudiyyah yang sempit, tetapi menggunakan sistem dan segala aspek keduniaan sebagai wasilah ke arah penegakkan tauhid. Islam tidak boleh dipecah-pecahkan mengikut kemahuan serakah manusia jika manusia tidak ingin melihat kerosakkan. Sebagai contoh mengamalkan solat dan puasa, dalam masa sama tidak memberi perhatian kepada aspek politik dan pemerintahan yang sepatutnya berasaskan Keadilan Islam. 

• Gaya berfikir seperti ini menyebabkan kezaliman berlaku akibat mereka yang jahil menguasai sistem negara dan mendorong kekuatan Islam tidak mekar kerana dalam masa sama musuh Islam turut bernafsu menggunakan kuasa untuk membedal umat Islam. Begitulah kesan besar dan memakan masa apabila ajaran ini tidak dihayati dengan lengkap disisi umat Islam. Rasulullah SAW bersabda :

Sesiapa yang keluar daripada golongan Islam (syumul) maka sesungguhnya dia telah mencabut ikatan Islam dari tengkoknya"

(Hadith Riwayat Imam Ahmad, hadith Hasan)

• Islam sebagai cara hidup lengkap diperkukukan seperti kata tarbiah As Syahid Imam Hasan Al - Banna rhm di dalam kitab karangan Mantan Syeikhul Azhar Dr. Ali Abdul Halim Mahmud

"Islam adalah sistem yang komprehensif & menyentuh seluruh aspek kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air atau pemerintahan dan umat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah peradaban dan undang-undang atau ilmu pengetahuan dan keadilaan. Islam adalah kebendaan dan kekayaan atau usaha dan kecukupan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Islam adalah akidah yan benar dan ibadah yang sahih tidak kurang tidak lebih"

• InsyaAllah jika ada keizinan, kita boleh berkongsi ilmiah tentang perbahasan lebih panjang lebar penegasan As syahid di atas.

 

Catatan : 

al faqir Abu Maryam Safiyah

Tawau, Sabah