Jum08182017

Last updateKha, 17 Ogs 2017 5pm

Back Utama Artikel PAS Negeri Sabah PAS KENINGAU RAIKAN RAKYAT DALAM RUMAH TERBUKA AIDILFITRI

PAS KENINGAU RAIKAN RAKYAT DALAM RUMAH TERBUKA AIDILFITRI

KENINGAU: Kehadiran lebih 800 pengunjung daripada pelbagai suku kaum telah menyerikan lagi rumah terbuka Pas Kawasan Keningau tahun 2017 di perkarangan pejabat Pas Kawasan Keningau di bangunan One Plaza Jalan Apin-Apin bersebelahan Hospital Keningau.

Rumah terbuka yang diadakan setiap tahun itu diraikan bersama masyarakat Keningau dengan penuh kemeriahan. Bermula seawal jam 1 petang, perkarangan pejabat Pas Kawasan Keningau telah dipenuhi dengan tetamu.

Tetamu disajikan dengan pelbagai juadah yang enak dan lazat antaranya gulai daging kawah, sate, bihun sup, ketupat, lemang, rendang, cendol, air buah-buahan, nasi beriani dan pelbagai lagi juadah yang menarik. Bagi memenuhi juadah, seekor lembu dan dua ekor kambing telah disembelih hasil sumbangan peserta akikah.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pesuruhjaya Pas Sabah, Tuan Aminuddin Aling, Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Sabah Ust. Awang Laiman Hj Ikin, Ketua Dewan Ulamak Pas Sabah Ust Mustaqim Aling dan Yang dipertua Pas Kawasan Keningau Saudara Abd. Hisham Othman. Turut hadir wakil daripada Parti Warisan, Parti Cinta Sabah, dan Parti Keadilan Rakyat.

Beberapa acara turut dimeriahkan antaranya Demonstrasi Iron Magic dan persembahan bacaan surah oleh murid SERI Tahfiz Al-Ilmi. Salah seorang tetamu yang ditemubual oleh pengacara iaitu Saudara Naza menyatakan rumah terbuka Pas Keningau hari ini harus diteruskan kerana sentiasa meriah dengan pengunjung dan makanan yang lazat.

Menurut Yang Dipertuanya Saudara Abdul Hisham Othman, rumah terbuka Pas Keningau ini merupakan acara tahunan yang diadakan setiap tahun. Beliau turut menyatakan acara rumah terbuka ini merupakan satu peluang untuk Pas Keningau mendekati dan menyantuni rakyat bagi merapatkan ukhuwah dan menghubungkan silaturahim antara ahli pas bersama masyarakat dalam Parlimen Keningau.

Sebagai sebuah organisasi politik dan dakwah maka Pas Kawasan Keningau merasakan wajar untuk menghargai sokongan masyarakat melalui acara seperti ini. Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang dana dan petugas yang bersungguh-sungguh berkerja bagi merealisasikan program Rumah Terbuka Pas Kawasan Keningau pada kali ini.

Beliau mewakili seluruh jentera petugas, ahli Pas dan juga ahli jawatankuasa kerja Pas Kawasan Keningau mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitiri Maaf Zahir dan Batin

Inilah penyelesaian kita
Sabah Sejahtera