Ahd04302017

Last updateAhd, 30 Apr 2017 2pm

Back Utama Artikel PAS Negeri Sarawak PEMBENTANGAN RUU355 BERJAYA, PAS NEGERI SARAWAK UCAP TAHNIAH

PEMBENTANGAN RUU355 BERJAYA, PAS NEGERI SARAWAK UCAP TAHNIAH


Bintulu, 7 April 2017
- PAS Sarawak merakamkan rasa kesyukuran kepada Tuhan dan sekalung tahniah kepada MP Marang Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang (TGHH) kerana telah berjaya membentangkan Pindaan Rang Undang-undang 355 (RUU355) walaupun menerima provokasi dengan sentimen kebencian dan kurang profesional yang dilakukan oleh beberapa orang wakil rakyat sebelum Yang DiPertua Dewan Rakyat memberi kebenaran untuk TGHH membentang.

Sesi penerangan yang jelas telah dibuat dalam suasana harmoni dan tidak menghina mana-mana pihak itu membuatkan pembentangan tersebut berjalan lancar. Antara kandungan menarik yang ditegaskan adalah cadangan Pindaan RUU355 ini tidak melibatkan orang bukan Islam, bukan Hudud dan bukan pintu belakang untuk membuat hudud kerana jalan untuk melaksanakan Hudud itu masih jauh dan sukar.

Sesi petang memperlihatkan MP Kota Bharu Dato Takiyudin Hassan membuat perbahasan sokongan terhadap pindaan ini. Beliau turut menyatakan bahawa sepatutnya rakyat Sarawak dan MP dari Sarawak berasa bangga kerana wakil rakyat mereka dahulu iaitu Almarhum Tun Rahman Yaakob (Wakil Kerajaan ketika itu) yang mula-mula membentangkan Rang Undang-Undang ini untuk menaik taraf Mahkamah Syariah dan diluluskan pada tahun 1965.

"Saya merasakan wajar MP-MP Islam dan malah bukan Islam dari Sarawak untuk menyokong cadangan pindaan terhadap akta ini kerana ia penting untuk institusi Mahkamah Syariah dinaik taraf", kata Hj Kiprawi ketika dihubungi semalam.

Tambah beliau, polemik di kalangan rakyat akan terhenti dengan serta merta jika semua wakil rakyat berfikiran positif dan matang dalam menilai kewajaran Akta 355 ini dipinda. "Tidak perlu untuk jadikannya isu besar kerana ia hanya akan menjadi negatif dikalangan rakyat berbilang kaum kerana nyata akta ini sebelum ini tidak mengancam rakyat bukan Islam malah pada ketika RUU ini dibentang pada tahun 1965 dan dipinda pada 1984 ianya mendapat sokongan dari kalangan MP bukan Islam seperti bekas MP Tuaran YB Ongkili", ujar Hj Kiprawi.

Yang Dipertua Dewan menangguh perbahasan ke sesi akan datang dan diharapkan agar masa yang ada semua pihak termasuk agensi kerajaan yang berkenaan dapat mempergiatkan lagi sesi penerangan yang lebih menyeluruh dan terbuka agar seluruh rakyat akan faham. PAS Sarawak juga mengharapkan jangan ada individu menjadikan isu ini sebagai bahan eksploitasi kebencian yang merenggangkan institusi sosial masyarakat.


Ketua Penerangan PAS
Negeri Sarawak.