Kha05252017

Last updateKha, 25 Mei 2017 4am

Back Utama Artikel PAS Negeri Sarawak SETIALAH BERSAMA JEMAAH (PAS)

SETIALAH BERSAMA JEMAAH (PAS)

Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa PAS ketika ini sedang diserang dan dicemburui oleh parti-parti lawan, namun ia tidaklah sampai menggugat kesepaduan dalam parti.
Bagaimanapun, hal-hal seperti ini tidak boleh dipandang remeh, jika tidak ditangani dengan baik dan berlapang dada, agar ia tidak menimbulkan kegelisahan kepada ahli dan penyokong PAS.


Seteru politik PAS yakni PAN, DAP dan BN terutamanya sedang menunggu-nunggu untuk melihat parti Islam ini berpecah-belah. PAS sebagai sebuah parti yang sah dan gerakan Islam yang ulung di Malaysia harus dipelihara sebaik-baiknya dan mesti mengelak daripada dilanda masalah dalaman yang boleh menggugat keutuhan parti.
Justeru, semua elemen yang negatif dan mementingkan peribadi lebih daripada kepentingan perjuangan hendaklah dielakkan.


PAS akan rebah dan tidak akan mendapat kepercayaan rakyat jika ada kalangan yang merelakan dirinya dipergunakan dengan tujuan tertentu, guna mengaut keuntungan jangka pendek.


Sememangnya PAS bukanlah sebuah parti politik semata-mata. PAS adalah sebuah parti yang mempunyai ideologi yang unggul, mempunyai pemimpin dan kader-kader dakwah yang sedia mendapat tarbiyah Islam yang bertunjangkan kemuliaan keperibadian akhlak.


Dan pejuang-pejuang PAS juga mestilah dari kalangan yang mesti berlapang dada apabila tidak dicalonkan dalam pemilihan ataupun kalah dalam setiap pemilihan dalam parti. Maka dengan itu, akan lahirlah kalangan mereka yang berilmu, mempunyai sahsiah yang mulia dan beramal dengan amalan Islam.


Semua kita samada pemimpin mahupun ahli biasa menyertai PAS, bukan kerana kepentingan politik tetapi untuk membawa perubahan positif untuk negara dan umat. Kita menyertai PAS kerana PAS membawa wadah Islam. Kita meyakini bahawa hanya dengan Islam, diri kita, keluarga kita, masyarakat kita dan negara akan dapat pemeliharaan dan keberkatan dari Allah SWT.


PAS juga mengetepikan ideologi nasionalisme, sekularisme, sosialisme, pragmatisme, komunisme dan lain- lain. Semua ideologi ini sedang gagal dan menuju kehancuran. Hanya dengan istiqamah di atas ideologi Islam kita akan selamat.


Kita harus yakin, bahawa kita akan dimuliakan Allah SWT selama mana kita berjuangan di atas landasanNya, walaupun kita tidak menang di dunia, Insya Allah, kita akan menang di akhirat. Kita juga harus yakin, kita akan mendapat kehinaan Allah SWT jika perjuangan kita melencong dari landasanNya, walaupun kita mendapat keuntungan di dunia.


Semua ahli dan pemimpin adalah sahabat-sahabat yang harus dikasihi, dihormati dan dijalinkan persahabatan sesama muslim sebaik-baiknya.


Yakinlah, pemimpin-pemimpin PAS yang telah terpilih di peringkat kawasan, negeri mahupun dalam Muktamar nanti akan dapat menyelesaikan sebarang pertikaian yang berbangkit, yang sebahagiannya sengaja diperbesarkan oleh parti-parti lawan dan media tali barut yang memusuhi PAS.


Ahli-ahli, penyokong dan rakyat yang cintakan perjuangan Islam akan tidak pernah menaruh rasa curiga atas kemampuan dan kebijaksaan Presiden TG Hj. Abdul Hadi Awang serta saf-saf pimpinan yang lain.


Kita juga yakin, akhirnya segala masalah berbangkit dapat disaksikan dengan sebaiknya sekaligus dapat meningkatkan lagi kematangan PAS berdepan realiti politik di Sarawak dan amnya di Malaysia, Insya Allah.

 

Cikgu Shokri Hj. Fauzi
Mantan PJ PAS Sarawak.

17 April 2017.