Sab07222017

Last updateJum, 21 Jul 2017 10am

Back Utama Artikel Dewan Pemuda PAS Kelantan Surat terbuka buat penduduk terlibat Zon A Lembah Binjai

Surat terbuka buat penduduk terlibat Zon A Lembah Binjai

Surat Terbuka Buat Penduduk Terlibat Zon A Lembah Binjai: Kepentingan Tuan Puan Dijamin Perlembagaan Persekutuan

Ke Hadapan Tuan dan Puan Pemilik Tanah Zon A,

Tuan dan puan, para penduduk Kampung Chepa, Mukim Mentuan yang terlibat dalam Zon A pembangunan Lembah Binjai seluas 45 ekar tidak harus takut, bimbang serta membiarkan diri dipengaruhi oleh hasutan dan salah maklumat yang cuba dimainkan oleh parti pembangkang negeri ini. Dalam konteks pemilikan hartanah, Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan menegaskan bahawa tiada seorangpun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada sesuatu undang-undang boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta dengan paksa tanpa membayar pampasan yang mencukupi.

Tuan, Undang-undang yang dimaksudkan di sini adalah undang-undang yang mengurus tadbir soal pengambilan tanah dan mahkamah akan berperanan untuk menentukan perjalanan prosedur yang betul dijalankan dalam hal-hal berkaitan. Tanah itu tidak boleh diambil atau digunakan secara paksa oleh sesiapapun kecuali ada undang-undang yang membenarkan ia dilakukan dengan syarat pemilik tanah dibayar pampasan yang memadai.

Pampasan yang memadai ataupun mencukupi ialah suatu perkara yang akan ditentukan oleh mahkamah kerana pampasan merupakan suatu perkara yang subjektif namun pihak pentadbir tanah akan mengambilkira pandangan daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), penilai berdaftar atau apa-apa fakta berkaitan yang munasabah untuk diambilkira semasa perbicaraan nanti sebelum mengeluarkan perintah.

Untuk pengetahuan pihak tuan dan puan juga, para pemilik tanah boleh membuat bantahan kepada pentadbir tanah atau mahkamah sekiranya pampasan yang diberikan tidak mencukupi dan dirasakan tidak memadai. Inilah dia keadilan yang terkandung di dalam Perkara 13 (1) dan 13 (2) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas mempertahankan hak tuan tanah serta jaminan dengan maksud pengambilan yang dibuat hendaklah dibayar pampasan yang mencukupi di mana keadaan ekonomi tuan tuan sebagai pemilik tanah tersebut tidak menjadi kurang atau kerugian akibat daripada pengambilan tersebut.

Sebarang pengambilan yang dibuat sekiranya tidak dibayar dengan pampasan yang sewajarnya dan tidak mencukupi akan dianggap sebagai "Ultra Vires" dan boleh dianggap batal atau tidak sah mengikut Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan negara ini.

Apakah pula kaitan dengan tuduhan kerajaan negeri mewartakan kawasan ini kononnya secara "senyap-senyap"? Perlu diketahui bahawa proses pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 ini sememangnya bermula dengan pengeluaran warta dan diikuti dengan siasatan di Pejabat Tanah. Pihak tuan tuan, sebagai individu yang berkepentingan perlu hadir semasa siasatan bagi membolehkan Pentadbir Tanah menentukan pihak pihak yang berkepentingan di atas tanah bagi tujuan bayaran pampasan. Jadi tidak timbul isu dan tuduhan "mewarta secara senyap" seperti yang digembar gemburkan oleh sesetengah pihak kerana kerajaan telah bertindak melalui saluran undang undang yang sah.

Dan mengikut laporan, pihak MPKB baru sahaja memanggil pemilik kepada 14 buah rumah yang terlibat dalam tanah seluas 45 ekar ini untuk satu dialog khas, mungkin ada antara tuan puan terlibat dalam program tersebut. Manakala selepas notis keluar nanti, tuan akan di panggil semula oleh Pejabat Tanah bersama sama dengan semua pemilik berdaftar yang lain yang mana setiap daripada tuan akan diberi peluang untuk menjawab bagi pihak diri masing masing. Ini sekaligus menolak dakwaan dan tuduhan kononnya kerajaan melalui agensinya hanya memilih untuk memanggil beberapa orang sahaja untuk berbincang.

Semoga surat ini sedikit sebanyak memberikan pencerahan kepada tuan puan sekalian. Dan memberikan satu sudut pandang bahawa kerajaan negeri serta pihak yang berwajib telah dan sedang mematuhi segala undang undang dan peraturan sedia ada.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan. – HARAKAHDAILY 27/6/2017