Rab04262017

Last updateRab, 26 Apr 2017 4pm

Back Utama Artikel PAS Negeri Perak Sinar Harian Dibawa Sebagai Pihak Ketiga

Sinar Harian Dibawa Sebagai Pihak Ketiga

Sinar Harian Dibawa Sebagai Pihak Ketiga


Mahkamah Sesyen Ipoh pada 18 April 2017 telah membenarkan permohonan Pesuruhjaya Pas Perak, Haji Razman Zakaria untuk membawa masuk Sinar Harian sebagai pihak ketiga dalam kes saman oleh Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara negeri Perak, Dato' Seri Nizar Jamaludin terhadapnya.

Sinar Harian dibawa sebagai Pihak Ketiga kerana ia merupakan pihak yang menyiarkan berita bertajuk 'Pendekatan Nizar Mirip DAP' yang menjadi asas tuntutan Nizar terhadap Razman.

Dalam prosiding hari ini, peguam Nizar membantah permohonan tersebut atas alasan ia dibuat setelah tarikh bicara ditetapkan. Namun begitu bantahan tersebut tidak diterima oleh mahkamah.

Peguam Razman ketika menghujah berkenaan bantahan peguam Nizar tersebut menyatakan bahawa peguam Nizar (Plaintif) tiada hak untuk membantah permohonan untuk kebenaran membawa masuk pihak ketiga kerana berdasarkan prinsip undang-undang, adalah jelas, permohonan berkenaan adalah merupakan urusan di antara Razman ( Defendan) dengan Pihak Ketiga.

Pada prosiding hari ini juga peguam Nizar membangkitkan perkara bahawa Razman masih belum menjelaskan kos sebanyak RM8,000 yang diperintahkan oleh mahkamah ketika memutuskan berkenaan notis permohonan membatalkan saman serta notis permohonan membatalkan tuntutan balas.

Namun begitu perkara tersebut telah diselesaikan apabila peguam Razman memaklumkan terdapatnya silap faham kerana terdapatnya komunikasi di antara peguam Razman dan salah seorang peguam Nizar (yang tidak hadir pada prosiding hari ini) agar kos berkenaan diselesaikan setelah pendengaran rayuan Razman berhubung perintah berkenaan di Mahkamah Tinggi.

Atas dasar tidak mahu perkara ini menimbulkan polimik, direkodkan pada hari ini bahawa Razman akan menjelaskannya selewat-lewatnya pada hari jumaat (21 April 2017). Rayuan Razman di Mahkamah Tinggi Ipoh ditetapkan untuk pendengaran pada 24 Mei 2017.

Ketika ditanya berkenaan isu masih belum menjelaskan bayaran berkenaan, Razman memaklumkan bahawa dia tidak berniat menghina mahkamah tetapi atas kesilapfahaman berhubung terdapatnya komunikasi salah seorang peguamnya dengan peguam Nizar, selain itu tiada dinyatakan di perintah berkenaan tempoh masa ia perlu dibayar.

"Saya tiada masalah untuk menjelaskannya", katanya.

Razman diwakili barisan peguam dari Lajnah Undang-undang & Guaman Pas Perak, Mohd Zamri, Ahmad Azhar, Nurul Huda dan Syahidah Hanum.

Kes ditetapkan untuk pengurusan kes bagi pihak ketiga pada 18 Mei 2017.