Rab05242017

Last updateRab, 24 Mei 2017 9pm

Belasungkawa Buat Temanku Prof. Dr Khazani Abdullah: Permata Jamaah Dihati Kami

 

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Dr Khazani Abdullah dilahirkan di Terengganu pada tahun 1968. Beliau merupakan antara anak Melayu yang mendapat pendidikan Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari University of Missouri, Rolla USA pada tahun 1991 sehingga 1993. Kecemerlangan beliau dalam bidang akademik sejak zaman persekolahan beliau di Terengganu ini disempurnakan dengan beliau menamatkan Ijazah PhD di Universiti Malaya pada tahun 1999. Dr Khazani Abdullah yang merupakan aktivis PAS semenjak zaman belajar, merupakan seorang pakar dalam bidang Fiber Optic, di mana beliau telah dianugerahkan sebagai Saintis Muda Negara pada tahun 2001 dengan pelbagai sumbangan beliau dalam bidang Fiber Optic.

Beliau telah memenangi banyak anugerah di peringkat antarabangsa kerana kecemerlangan dan kesungguhan beliau dalam bidang ini. Beliau terlibat dalam pelbagai penerbitan jurnal antarabangsa dalam bidang beliau, di mana tokoh ini juga Professor Adjunct di UNITEN, dan beliau juga telah menyelenggarakan pelbagai tesis kesarjanaan dan juga di peringkat PhD.

Semasa zaman remaja, almarhum mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman pada tahun 1981 sehingga tahun 1983. Sebuah sekolah tersohor dan elit yang ditubuhkan di zaman British pada tahun 1925 yang melahirkan ramai tokoh-tokoh berjasa kepada negara termasuk Yang DiPertuan Agong sebelum ini, Raja Mizan. Di sekolah ternama ini, Khazani yang berasal daripada kampong Kuala Ibai lebih merupakan "ulat buku" berbanding reputasi dalam bidang sukan atau aktiviti pasukan beruniform yang lain.

Menurut YB Ustaz Afiffin Deraman (ADUN Alor Limbat yang memperolehi ijazah dalam bidang konvensional dan agama), Dr Khazani telah menjadi pelajar terbaik SMSS dalam peperiksaan awam SRP pada tahun 1983. Beliau akhirnya telah menyambung pelajaran menengahnya di MRSM Kuantan sehingga berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun 1985. Peminat gerakan Islam semenjak remaja ini akhirnya bermukim ilmu ke negara "Uncle Sam", terdedah dengan lebih luas di medan amal Islami.

Beliau antara tenaga pemikir dalam jamaah PAS, bersama-sama dengan Prof.Madya Dr Shamsuri Mokhtar, pakar aero angkasa Malaysia,Prof Dr Khazani menjadi "inner circle" Tuan Guru Haji Abdul Hadi semenjak tahun 2003. Dengan kejatuhan kerajaan PAS Terengganu pada tahun 2004, beliau lebih serius membantu Tuan Guru Presiden membangunkan kembali kekuatan PAS, terutama di Terengganu.

Almarhum terlibat dengan NGO Perantau Terengganu dan jawatan terakhir beliau ialah Timbalan Presiden Perantau Terengganu. Khazani antara pengasas NGO Ilmuan, sebuah wadah yang menghimpunkan para cendekia yang mempunyai fikrah Islam dan bernuansa dakwah. Di peringkat kepimpinan PAS Pusat, beliau dilantik sebagai AJK PAS Pusat untuk sesi 2015-2017 dan menjadi pemikir utama untuk pengenalan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Satu usaha besar PAS mendekati pelbagai strata sosial masyarakat, di mana idea Tuan Guru Presiden ini diterjemahkan di atas kertas oleh Dr Khazani.

Kejayaan beliau juga dengan menjadi pemikir utama dalam PAS di bilik strategik, ISP. Badan pemikir PAS ini juga merangka WINS (Wawasan Induk Negara Sejahtera) serta melakar "road map" PAS ke arah kejayaan PRU ke-14. Saya sebagaimana ahli-ahli PAS dan pimpinan yang lain, akan terus mengenang Dr Khazani sebagai sosok yang serius dengan kerja buat di medan amal Islami, hadir dalam mesyuarat PAS Pusat dan Lujnah Politik Pusat dengan idea-idea serta pembentangan fakta yang bertunjangkan kajian.

Dr Khazani sentiasa bersalut aura positif, tidak lokek masa dan harta untuk perjuangan Islam. Beliau juga pengasas kepada SRITI Bangi, sebuah institusi pendidikan yang kini mula menjadi fenomena baru kepada ibubapa dan pelajar. Ilmuan Islam ini akan kekal terpahat dihati kami, abnaul harakah, menjadi pencetus kebangkitan PAS pasca krisis 2015 dengan BPMS. Saya melihat kembali whatsapp peribadi antara saya dengan Khazani, kata-kata motivasinya, pesan-pesan penghargaannya dan akhirnya hati menjadi basah. Seorang teman yang menghargai persahabatan dan sentiasa bertanya apakah lagi ruang untuk menyumbang kepada perjuangan Islam. Damailah di sana wahai sang pejuang dan kami juga akan menyusurimu di alam sana. Alfatihah!

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat)