Ahd05282017

Last updateAhd, 28 Mei 2017 1am

Back Utama Berita/Kenyataan DMPP Kejayaan Himpunan 355, DMPM Rakam Tahniah

Kejayaan Himpunan 355, DMPM Rakam Tahniah

Alhamdulillah, Himpunan bersejarah penuh warna-warni sudah selesai dengan jayanya. Kehadiran lautan manusia dari seluruh pelusuk negara melengkapkan memori himpunan gergasi H355.

Kami mewakili saff kepimpinanan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan jutaan tahniah kepada semua penggerak dan pelaksana program. Semoga penat lelah kalian demi memastikan program ini berjalan lancar tercatat sebagai amal soleh disisi Allah S.W.T.

Penghargaan buat Jabatan Amal Malaysia dan Briged Muslimat Malaysia yang telah memudahkan perjalanan lalu-lintas, keselamatan dan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan. Tidak lupa kepada para Sukararelawan H355 yang banyak membantu dalam aspek kebersihan, teknikal dan tugas-tugas khas yang lain.

Sekalung penghargaan buat Media Wartawan dan Jurufoto yang hadir merakamkan detik bersejarah dan memberikan berita yang sahih lagi tepat tentang H355. Semoga segala lensa, pena dan bahan yang disebar dan tersebar dalam media cetak, media elektronik, media baharu seperti laman facebook, twitter, instagram dan segalanya mendapat saham pahala di akhirat kelak.

Tahniah buat seluruh Dewan Muslimat PAS Negeri, kawasan, cawangan dan seluruh wanita yang telah menghadirkan diri ke H355. Inilah tanda sokongan bahawa kaum wanita juga mendokong penuh RUU 355.

Syabas dan terima kasih juga kami tujukan buat seluruh rakyat Malaysia yang menunjukkan sokongan padu, menyokong usaha murni ini sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam penganjuran himpunan ini. Sesungguhnya kehadiran kalian membanjiri Kuala Lumpur dengan gelombang ungu membawa isyarat jelas bahawa anda rakyat yang cakna terhadap agama Islam.

Sebagaimana dalam ucapan saya semalam. Saya menyebut kita mahu Islam dinobatkan kerana kita adalah masyarakat yang rindu kepada kesejahteraan dan mahu masyarakat di negara ini diberkati Allah S.W.T.

Walaupun kita berhadapan dengan cuaca panas dan hujan, inilah antara bukti kita di hadapan Allah nanti dalam membantu kalimah Allah direalisasikan. Mudah-mudahan panas dan hujan ini akan menghasilkan kedinginan dan kesejahteraan apabila kita dibangkitkan di Padang Mahsyar nanti, InsyaAllah.

Ayuh! Teruskan berdoa agar Allah melimpahkan cahaya hidayah buat seluruh pimpinan bagi menyokong penuh Rang Undang-Undang 355 ini dan memberikan petunjuk serta menjentik taman hati setiap rakyat Malaysia khususnya orang Islam dan orang bukan Islam untuk menegakkan syariah Islam di Malaysia!
Ya Allah perkenankan doa-doa kami. Amin ya Robbal 'Alamin.


USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
24 Jamadil Awal 1438H
20 Februari 2017