Sab07222017

Last updateJum, 21 Jul 2017 10am

Back Utama Berita/Kenyataan DMPP Skuad Prihatin : Sumbangan Kebakaran Kampung Hidayat Tawau

Skuad Prihatin : Sumbangan Kebakaran Kampung Hidayat Tawau

10 Julai 2017, Tawau : Kampung Hidayat yang terletak di Tawau Sabah merupakan sebuah perkampungan kecil yang terbina di dalamnya rumah-rumah setinggan yang bertaburan di persisiran pantai. Keadaan rumah setinggan yang dibina begitu padat, berkelompok dan berdekatan serta 100% diperbuat daripada kayu dan atap zink. Berikutan daripada itu, apabila berlakunya kebakaran, ianya menyebabkan kebakaran merebak dengan sangat cepat.

Tanggal 1 Julai baru-baru ini, dalam semua umat Islam bergembira meraikan Aidilfitri, penduduk Kampung Hidayat diuji dengan kebakaran yang telah memusnahkan kediaman mereka. Menurut sumber, sebanyak lebih daripada 250 buah rumah musnah keseluruhannya dan melibatkan kira-kira 1500 penduduk kampung yang tinggal sehelai sepinggang. Namun, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.

Berikutan kejadian itu, PAS telah menghantar seramai 35 Anggota Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah bagi membantu membersihkan tapak kebakaran bersama-sama penduduk kampung dan sekaligus telah mendirikan khemah kepada penduduk kampung buat tempat berteduh. Pelbagai bentuk bantuan telah dihulurkan oleh Anggota Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah bermula 2 Julai sehingga ke hari-hari berikutnya, seperti menyediakan sarapan, menyampaikan sumbangan makanan dan minuman, edaran keperluan seperti susu bayi, pampers, pakaian serta makanan kering yang mana adalah daripada sumbangan orang ramai yang telah memberi kepercayaan kepada pihak PAS untuk menyampaikannya kepada mangsa kebakaran.

Skuad Prihatin dari Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) juga tidak ketinggalan dalam misi bantuan tersebut. Sebaran mohon sumbangan yang telah diusahakan oleh pihak LKK DMPM telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan. Sumbangan-sumbangan dari para penyumbang yang dermawan tersebut telah diserahkan kepada mangsa kebakaran Kampung Hidayat Tawau melalui Pengerusi LKK DMPN Sabah iaitu Puan Izzati. Pihak LKK DMPM amat bersyukur dan berterima kasih yang tidak terhingga kepada para penyumbang yang budiman. Tidak lupa juga, jutaan terima kasih kepada semua yang tidak putus mendoakan serta memberi sokongan.

Semoga dengan sumbangan yang telah disampaikan itu akan menjadi saham terbesar di akhirat kelak buat para penyumbang. Didoakan juga buat penduduk Kampung Hidayat yang menerima ujian hebat ini, semoga kuat dan tabah serta memperoleh keredhaan Allah SWT atas kesabaran kalian menghadapi ujian ini. Allahumma aameen.

Jazakumullah Khair Katheera. Siiru 'ala Barakatillah.

"Sejahtera Bersama Islam"

"Muslimat Memacu Kemenangan"