Rab08232017

Last updateRab, 23 Ogs 2017 10am

Back Utama Berita/Kenyataan DPPP Dunia Wajib Bela Dan Bebas Palestin

Dunia Wajib Bela Dan Bebas Palestin

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
16 Mei 2017 | 19 Sya’ban 1438

DUNIA WAJIB BELA DAN BEBAS PALESTIN


1. Pembebasan bumi Palestin kembali ke pangkuan yang berhak perlu menjadi komitmen umat Islam dan warga dunia. Hasrat keamanan mesti terus bersinar dan berkobar dalam sanubari manusia sejagat agar tragedi 15 Mei 1948 atas kemanusiaan dari kezaliman regim Zionis itu tidak berulang di mana-mana bahagian dunia.

2. Kami percaya, pembelaan terhadap keganasan berusia 69 tahun itu wajib diingati dan diperjuangkan sehingga Israel menghentikan penindasan dan pencabulan hak ke atas bumi umat Islam itu. Dunia yang membisu perlu terus dikritik atas sikap hipokrit dan mengabaikan hak secara diskriminasi serta menutup mata atas kejahatan di satu pihak.

3. Hati nurani dunia sedang mengadili dan memerhati cita-cita murni agar kerakusan dan tindakan ketenteraan yang terjadi ditangani secara saksama. Oleh itu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) digesa melaksanakan resolusi-resolusi yang telah dipersetujui selama ini tanpa alasan lagi.

4. Kami kesal, disebalik pelbagai rundingan keamanan dan gencatan senjata, Palestin terus ditekan dan dikasari. Wilayah negara itu kian mengecil dan disulitkan untuk menerima akses secara bebas. Ianya kongkongan tidak wajar yang memerlukan penegasan dan tindakan badan dunia agar kesengsaraan itu ditamatkan segera.

5. Masyarakat dunia juga wajib mengambil iktibar dari tragedi dan kekerasan yang masih berlangsung bahawa pada bila-bila masa perkara seumpama boleh berlaku di mana sahaja sepertimana kini di Rakhine, Myanmar. Tindakan keganasan sepertinya yang tidak ditangani hanya akan mengundang ektremisme lebih menakutkan.

Sekian.

“Mara Menuju Cita”
“Sejahtera Bersama Islam”

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia