Sab07222017

Last updateJum, 21 Jul 2017 10am

Back Utama Berita/Kenyataan DPPP KENYATAAN MEDIA DPPM | Seimbangkan Untung & Perlindungan Dalam Liberalisasi Insuran

KENYATAAN MEDIA DPPM | Seimbangkan Untung & Perlindungan Dalam Liberalisasi Insuran


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
4 Julai 2017 | 10 Syawwal 1438

“SEIMBANGKAN UNTUNG DAN PERLINDUNGAN DALAM LIBERALISASI INSURAN”


1. Keadaan ekonomi yang belum stabil menuntut pihak kerajaan khususnya Bank Negara Malaysia (BNM) memantau sepenuhnya pelaksanaan dasar liberalisasi kadar premium motor komprehensif. Kerajaan perlu membantu memandu kebijaksanaan rakyat selaku pengguna dengan melaksanakan suatu mekanisme kawalan dan pantauan minima terhadap penanggung insuran dan pengendali takaful.

2. Hal ini bertujuan agar tidak wujud saling berpakat untuk menaikkan kadar premium insuran bagi meraih keuntungan hingga menindas pengguna. Disamping itu turut membantu awam mendapat maklumat lengkap sebelum memilih suatu produk insuran yang ditawarkan. Selain memastikan penanggung insuran dan pengendali takaful bertanggungjawab menyediakan perlindungan sebenar.

3. Persetujuan harga bersama yang diperolehi mesti dipastikan jaminannya oleh kerajaan agar hak dan manfaat kedua pihak berlaku secara ‘menang-menang’ dan saksama. Kerana, berkuatkuasa 1 Julai 2017, tarif motor berdasarkan harga yang ditetapkan, tidak lagi digunakan di mana harga produk insuran motor akan ditentukan oleh penanggung insuran dan pengendali takaful.

4. Ini menimbulkan kerisauan dalam kalangan pemilik kenderaan sama ada liberalisasi ini akan benar-benar menguntungkan pengguna seperti yang dicanang atau sebaliknya. Pengguna perlu diberi jaminan oleh kerajaan pelaksanaan dasar itu tidak membebankan mereka yang mungkin terpaksa menanggung kenaikan kadar premium disebalik bebanan sedia ada ekoran pelbagai kenaikan dalam sektor perkhidmatan dan barangan.

5. Khususnya pasca pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), pengguna terutama golongan berpendapatan rendah dan memiliki kenderaan berusia pastinya begitu terbeban dengan kenaikan kadar premium insuran. Ini kerana, harga produk insuran akan ditentu berdasarkan profil risiko pengguna yang berbeza. Selain faktor rutin sebelum ini, beberapa faktor baharu akan menjadi pertimbangan.

6. Antaranya ialah ciri-ciri keselamatan dalam kenderaan, tempoh kenderaan berada di jalan raya, lokasi geografi kenderaan dan kesalahan lalu lintas pernah dialami. Oleh itu, peranan kerajaan tetap perlu wujud agar keseimbangan dan tujuan perlindungan yang menjadi keutamaan tidak diabaikan disebalik perubahan dasar dilaksanakan ini.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia