Jum08182017

Last updateKha, 17 Ogs 2017 5pm

Back Utama Berita/Kenyataan DPPP TRANSKRIP DIALOG | Ketua Pemuda PAS Bersama Media

TRANSKRIP DIALOG | Ketua Pemuda PAS Bersama Media


TRANSKRIP DIALOG
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi

BERSAMA MEDIA
Sabtu, 15 Julai 2017
Hotel De’ Palma, Ampang, Selangor

Menangani Terorisme

Antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Arab Saudi, respon saya bagi kami Dewan Pemuda PAS Malaysia, kami bergerak seiring dengan parti yang menegaskan bahawa Islam adalah merupakan agama yang menyeru kepada keamanan dan kesejahteraan. Adapun tuduhan-tuduhan terorisme yang diletakkan ke atas Islam adalah merupakan satu tuduhan yang tidak berasas. Bahkan ia adalah merupakan satu tuduhan yang menghidupkan lagi _Islamophobia_ yang berlaku di seluruh pelosok dunia pada hari ini.

 Padahal dari segi sejarahnya,walaupun Islam dituduh sebagai agama yang tersebar dengan pedang, Islam adalah satu agama yang menyeru kepada peperangan dan seumpamanya, hakikatnya dalam sejarah, Islam adalah merupakan satu-satunya agama yang tersebar ke seluruh pelosok dunia dengan cara dakwah, dengan cara dialog, dengan penduduk-penduduk di seluruh pelosok dunia.

 Saya berbalik kepada persoalan yang ditimbulkan tadi, bagi kami PAS, untuk menyelesaikan masalah terorisme yang dikaitkan dengan Islam, tidak dapat tidak ia mestilah melalui cara dan jalan dengan memberikan kesedaran dan kefahaman kepada umat Islam khususnya anak-anak muda dan inilah sebenarnya yang dimainkan peranan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia.

 Dengan mendekati anak-anak muda, bukan sahaja untuk menarik mereka supaya memberikan sokongan dan undi kepada PAS dalam pilihanraya, tetapi lebih daripada itu lagi ialah menanamkan kefahaman Islam yang _wasatiyyah_, kefahaman Islam yang sederhana, mengikut ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi S.A.W.

 Terorisme ini tidak mengenal agama dan tidak mengenal fahaman sama ada Kristian, Yahudi, Wahabi, Salafi, Khalafi dan lain-lain lagi. Oleh kerana itulah apabila terorisme disandarkan kepada Islam, ini adalah merupakan satu tuduhan yang tidak betul. Padahal kalau kita lihat pada hari ini, kalau kita bercakap berkait dengan kumpulan-kumpulan teroris yang wujud pada hari ini, bukan sahaja kumpulan tetapi kerajaan yang menyeru dan mengajak kepada terorisme.

 Hari ni apa yang berlaku di Palestin, bagaimana Kerajaan Zionis Yahudi yang melakukan berbagai-bagai kezaliman, penindasan dan keganasan terhadap rakyat Palestin sehingga mereka sendiri tidak boleh untuk pergi menunaikan sembahyang di dalam Masjidil Aqsa yang menjadi milik mereka. Jadi ini adalah merupakan terorisme yang sebenar, yang perlu diatasi oleh seluruh dunia.

 PAS dan Media

 Media tidak bersalah, yang bersalah ialah mereka yang menentukan polisi dan dasar. Malah yang kita melihat apa yang diamalkan di Malaysia, walaupun dimasyhurkan sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, tetapi kita melihat dari segi amalan media tidak mengikut lunas-lunas demokrasi yang sebenar.

 Memang betul kita lihat kebebasan itu berlaku khususnya di zaman langit terbuka, internet, di zaman _Facebook_, ditambah lagi hari ini dengan _Whatsapp_ dan seumpamanya, tetapi media arus perdana memainkan peranan yang sangat penting yang masuk di dalam setiap rumah. Di kawasan bandar, pinggir bandar, luar bandar dan kami daripada parti-parti pembangkang tidak diberikan hak yang sepatutnya untuk menyatakan polisi, dasar dan perjuangan kami kepada rakyat.

 Jadi bagi kami PAS, kami konsisten sejak daripada dulu, kami tidak menyalahkan media, yang salahnya ialah mereka yang meletakkan polisi dan dasar ini. Ini adalah merupakan kematangan kami dari sudut politik, matang ini mengikut keadaan dan suasana. Jika sekiranya suasana dan keadaan itu perlu kepada teguran yang pedas, maka itu dikira sebagai matang. Kalau jika sekiranya suasana dan keadaan perlu kepada teguran yang lembut, maka itu juga dikira sebagai matang.

 Jadi mengikut kepada keadaan dan suasana dan bagi kami PAS, memang kami terbuka, sehingga dalam muktamar kami, kami buka kepada media untuk datang. Ini saya percaya setengah parti-parti dalam negara kita tak berani, bukan saja nak panggil media, nak buat pemilihan, nak buat konferens pun tak berani nak buat. Kerana apa? Kerana takut berbalah.

 Tapi alhamdulillah kami PAS, bukan sahaja kami boleh buat muktamar, kami panggil media. Bahkan juga kami buat pemilihan dengan tak ada masalah berlaku dan media datang dan memberikan liputan secara langsung, jadi itu kematangan PAS dalam berpolitik yang kami tunjukkan kepada media.

 Gagasan Kepimpinan

Telah diputuskan oleh pihak Pakatan Harapan yang telah menetapkan barisan kepimpinan yang akan diberikan jawatan-jawatan apabila mereka menang dalam pilihan raya kali ini. Bagi kami PAS kami tidak sibuk nak lantik siapakah bakal Perdana Menteri, siapakah bakal Timbalan Perdana Menteri ni dan seterusnya. Tetapi bagi kami PAS, kami mempunyai ciri-ciri dan kriteria-kriteria kepada kepimpinan yang akan menerajui negara kita.

 Siapa yang memerintah, siapa yang memimpin itu tidak penting. Yang penting sifat-sifat, ciri-ciri dan kriteria itu yang mesti diperolehi dan PAS sebagai sebuah parti Islam yang bertunjangkan kepada al-Quran dan Sunnah Nabi S.A.W, kami menetapkan kepimpinan yang mesti memimpin negara, mestilah yang pertama beragama Islam. Yang kedua mestilah daripada bangsa Melayu, kerana bangsa Melayu adalah merupakan bangsa yang majoriti dalam negara kita. Yang ketiganya mestilah seorang yang adil, ini dari sudut agama, ini ciri-ciri dan kriteria-kriteria utama.

 Siapa dia itu tidak penting, yang penting ciri-ciri dan kriteria ni mesti ada. Dalam masa yang sama dari sudut perinciannya, seorang pemimpin yang kami mahu memimpin negara ini mestilah menghormati asas-asas yang telah diletakkan dalam negara kita. Islam sebagai Agama Persekutuan, Raja-raja yang telah diberikan hak dalam Perlembagaan, Bahasa Melayu sebagai bahasa negara, Tanah Rizab Melayu dan menghormati hak bangsa serta penganut agama lain. Jadi ini ciri-ciri dan kriteria utama kepada kepimpinan yang kami PAS mahu.

 Teguh Berdiri Sendiri

 PAS punya hala tuju yang jelas! Yang pertama tidak akan bersama-sama dengan Pakatan Harapan. Yang kedua tidak akan bersama-sama dengan Barisan Nasional. PAS akan memperkukuhkan Gagasan Sejahtera untuk mendepani PRU yang ke-14 yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja dan ramai pemerhati-pemerhati dan penganalisa-penganalisa politik melihat bahawa, PRU yang akan datang adalah merupakan satu PRU yang sangat unik.

 Jika dibandingkan dengan beberapa PRU yang lepas, apabila dua pertembungan blok politik daripada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, setelah PAS memutuskan perhubungan dengan DAP dan juga PKR, maka akan berlaku di sana tiga pihak yang akan bertanding dalam PRU yang akan datang. Jadi apa yang penting ialah kita perlu melihat apa yang sedang berlaku, dan apa yang akan berlaku ketika pilihanraya ini, dan apa yang akan berlaku selepas daripada pilihan raya.

 Jadi bagi PAS kita melihat dan menganalisa semua situasi-situasi yang berlaku dan akan berlaku ini, apa yang penting ialah PAS akan membuat satu-satu keputusan dengan melihat kepentingan Islam, umat Islam dan rakyat secara umumnya terpelihara dan terjamin. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku, apa yang penting ialah kita mahu peralihan kuasa berlaku dengan cara demokratik, setiap parti mestilah menghormati.

 Saya kira bahawa PRU yang akan datang akan menyaksikan satu perubahan, kerana beberapa perkara yang dilihat berlaku dalam PRU-PRU yang lepas. Kalau kita perhatikan di sana berlaku turun naik sokongan rakyat kepada Barisan Nasional. Tahun 1990, Barisan Nasional turun, tahun 1995 naik. Tahun 1999 turun, tahun 2004 naik, tahun 2008 turun. Tahun 2008 ketika itu Pakatan Rakyat memenangi lima buah negeri dan berjaya menafikan dua pertiga kerusi Umno dan Barisan Nasional.

 Tahun 2013 sepatutnya prestasi Barisan Nasional naik, tetapi ia kekal dengan begitu, ini menunjukkan ‘mood’rakyat mahukan kepada perubahan. Oleh kerana itulah saya percaya bahawa dalam PRU yang akan datang akan berlaku satu perubahan, dan bagi kami PAS, perubahan yang berlaku ini mestilah perubahan yang menguntungkan negara. Oleh kerana itulah kita membawa satu agenda yang sangat besar, agenda tersebut, segala masalah yang berlaku dalam negara kita mestilah mengikut landasan penyelesaian Islam.

 Pakatan Harapan masih lagi bercelaru di antara satu sama lain. Sebelum daripada ini diumumkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri, kemudian Tun Mahathir, kemudian dirujuk balik. Jadi saya tak pastilah apa yang berlaku di kalangan mereka. Apa yang penting bagi kami PAS, tumpuan kami ialah untuk membina kekuatan kami sendiri.

 Gerak ‘Peranan Negara’

 Amerika sebagai sebuah kuasa besar dunia melihat bahawa dunia Islam mestilah dipergunakan untuk kepentingannya. Maka di sini kita lihat umat Islam dilagakan di antara satu sama lain dengan isu perbalahan di antara mazhab Sunni, Syiah dan lain-lain lagi. Jadi sepatutnya masalah-masalah yang berlaku di dunia Islam ini mestilah diselesaikan dengan cara dialog, bukan dengan cara kekerasan. Sepertimana yang berlaku di Syria, yang berlaku di Iraq, sehingga berlakunya pertumpahan darah, berlakunya krisis-krisis kemanusiaan, pelarian, kebuluran dan lain-lain lagi.

Kami PAS, walaupun sebuah parti yang tidak memimpin negara dan memimpin sebuah kerajaan, tetapi kami menunjukkan bahawa kami adalah merupakan sebuah parti yang boleh memainkan peranan negara. Di sinilah dalam beberapa krisis yang berlaku di dunia Islam, pemimpin-pemimpin PAS dipanggil dan dijemput sekali untuk memainkan peranan bagi menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku.

 Krisis yang berlaku di Bosnia sebagai contoh, di sana ada peranan yang dimainkan oleh pimpinan PAS. Krisis yang berlaku di Afghanistan, bekas Presiden PAS, Almarhum (Dato’) Ustaz Fadzil Mohd Noor, termasuklah juga Tuan Guru Presiden PAS pada hari ini, terlibat sekali untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di sana. Termasuklah juga yang dekat dengan negara kita, Wilayah Acheh yang telah berjaya mendapat autonomi; di sana ada peranan yang dimainkan oleh PAS.

 Jadi ini menunjukkan bahawa PAS adalah merupakan sebuah parti walaupun belum lagi memimpin negara, tetapi menunjukkan bahawa kita adalah merupakan sebuah parti yang diiktiraf oleh peringkat antarabangsa untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku di dunia Islam.

Prinsip dan Keterbukaan

PAS berpegang kepada al-Quran, as-Sunnah, ijma’ dan qiyas. Maka di sana ada perkara-perkara yang tidak boleh berubah dan di sana ada perkara-perkara yang berubah. Di antara perkara-perkara yang berubah ialah ijtihad-ijtihad dari sudut politik, tahaluf siyasi, persefahaman politik dan lain-lain lagi. Dalam sejarah PAS menunjukkan bahawa PAS adalah sebuah parti yang terbuka.

Sebelum merdeka lagi PAS pernah mengadakan persefahaman dengan Umno dan juga parti-parti politik yang ada pada ketika itu, termasuklah yang mewakili kaum Cina dan kaum India. Sehingga diletakkan beberapa perkara penting dalam Perlembagaan di antaranya ialah Islam sebagai agama negara. Ketika negara kita menghadapi krisis 13 Mei, PAS sanggup mengadakan persefahaman dan berada dalam kerajaan Perikatan pada ketika itu, demi untuk melihat kepentingan negara terjamin.

Menariknya ketika berlaku 13 Mei, Kerajaan PAS yang memerintah di Kelantan, adalah merupakan satu negeri yang tidak berlaku kekecohan, negeri-negeri lain berlaku, tapi negeri Kelantan tidak berlaku. Bahkan Kerajaan PAS pada ketika itu memberi jaminan kepada kaum Cina supaya mereka jangan bimbang, mereka selamat, itu terbukti dalam sejarah.

Maka bagi PAS dari segi pendekatan-pendekatan politik dan strategi-strategi politik boleh berubah mengikut keadaan dan mengikut suasana. Hari ni kita mengambil satu pendekatan yang baru, politik matang dan sejahtera. Kita terbuka untuk berdialog, untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti politik, jika sekiranya ia bertujuan untuk kepentingan negara dan rakyat secara umum.

Oleh kerana itulah ini dirujuk dan dibuktikan dalam beberapa isu yang berlaku, contohnya ialah dalam isu RUU355, ini adalah kepentingan bersama umat Islam dalam negara kita tanpa mengira daripada Umno daripada PAS ataupun daripada mana-mana orang-orang Melayu Islam secara umumnya yang ada dalam parti-parti politik lain, apabila pintu perbincangan itu dibuka, kami menyahutnya. Kerana ia adalah untuk kepentingan bersama.

Tapi jika sekiranya dalam perkara yang tidak menguntungkan negara, maka kami mempunyai sikap yang keras. Contohnya dalam isu TPPA, kami menentang sekeras-kerasnya, dalam isu GST dan juga dalam isu-isu yang lain. Jadi saya sebutkan tadi apa sikap yang diambil oleh PAS, hala tuju telah ditetapkan dengan jelas. Dalam menghadapi PRU yang akan datang, PAS sekali-kali tidak akan bersama-sama dengan Pakatan Harapan dan tidak akan bersama-sama dengan Barisan Nasional, kita mempunyai sikap dan pendirian kita sendiri.