Jum08182017

Last updateKha, 17 Ogs 2017 5pm

Back Utama Berita/Kenyataan DPPP Mencari ‘Uber’ Dalam Politik Malaysia - Syahir Sulaiman

Mencari ‘Uber’ Dalam Politik Malaysia - Syahir Sulaiman

Uberisasi Dalam Ekonomi.

Istilah ‘uberisasi’ berasal daripada model perniagaan syarikat Uber, fenomena baru dalam ekonomi digital masa kini. 

Ia bagi menggambarkan kesan daripada aplikasi teknologi oleh syarikat seperti Uber, GrabCar dan Airbnb yang membolehkan pengguna berhubung terus dengan penyedia perkhidmatan secara atas talian, seterusnya mengubah model ekonomi dan nasib pemain industri sedia ada. Antara yang paling terjejas adalah ‘pemain lama’ seperti syarikat teksi, pemandu teksi dan pengusaha hotel, yang masih lagi bergantung kepada model ekonomi tradisional.

Kecanggihan teknologi dan kualiti perkhidmatan adalah sangat penting dalam model ‘ekonomi berkongsi’ (sharing-economy). Namun, kunci utama kejayaan Uber, GrabCar dan Airbnb adalah bagaimana mereka membina kepercayaan (trust) dalam minda pengguna untuk beralih kepada perkhidmatan mereka, khususnya di kalangan generasi muda (gen-Y).

Menariknya, konsep uberisasi ini bukan sahaja terpakai dalam dunia perniagaan, malah boleh diaplikasikan dalam persaingan dunia politik. Ini kerana objektif utama sesebuah parti politik adalah bagi mendapatkan ‘kepercayaan’ pengundi dan mengalahkan pesaing, di mana survival ‘pemain lama’ di pentas politik kini terletak di tangan generasi muda yang semakin dinamik.

Siapakah Uber Dalam Politik Malaysia?

Antara faktor mengapa lebih 4.1 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum berdaftar sebagai pengundi adalah kerana tahap kepercayaan politik yang rendah (trust deficit) di kalangan generasi muda, seterusnya menyumbang kepada tahap partisipasi politik yang rendah.

Sebahagian besar generasi muda tidak berasa bahawa parti politik dalam negara mampu mengubah keadaan semasa. Di mata generasi muda, UMNO kini dilihat terbeban dengan isu rasuah dan penyelewangan, walaupun tampil dengan pendekatan baru seperti TN50. 

Di samping isu kos sara hidup yang tinggi, skandal 1MDB dan sentimen perkauman adalah antara faktor yang akan menyebabkan anak muda semakin beralih daripada ‘pemain lama’ seperti UMNO kepada ‘pemain baru’ yang lebih bersih dan dinamik. 

Di kalangan parti pembangkang, peluang untuk menggantikan ‘pemain lama’ agak cerah. Namun, dengan pemilihan Tun Mahathir untuk mengemudi Pakatan Harapan, peluang itu kian pudar. 

Ini kerana Tun Mahathir yang sinonim dengan krisis kewangan 1997 dan pelbagai projek mega serta dasar penswastaan sepanjang 22 tahun beliau sebagai Perdana Menteri adalah simbol ‘pemain lama’ yang menyebabkan generasi muda sekarang terbeban. 

Begitulah juga dengan PKR, walaupun tampil dengan pendekatan yang lebih kontemporari, namun matlamat perjuangan PKR yang terlalu obses dengan Anwar Ibrahim tidak dapat dirasai oleh generasi muda yang tidak terkesan dengan gelombang reformasi 1998.  

DAP pula kekal sebagai ‘pemain lama’ yang sarat dengan agenda cauvanisma dan liberalisma. Manakala PAN dan PPBM masih gagal untuk mendampingi segmen pengundi muda, cukuplah dengan mengukur purata umur pengunjung setiap ceramah kecil dan program yang dianjurkan mereka.

Justeru pilihan yang ada sangat terhad. 

Sebagaimana Uber, pendekatan budaya politik matang dan sejahtera (BPMS) wajar diangkat sebagai alternatif kepada budaya politik lama yang dicemari dengan politik wang dan agenda populis. 

PAS kini berpeluang untuk menggerakkan NGO dan gerakan sivil bagi mewujudkan sebuah wadah politik baru yang lebih segar.

BPMS mampu menjadi wadah baru untuk menggabungkan rakyat dan generasi muda yang mahukan perubahan. Produk Pemuda PAS seperti PASTI, AMAL, ARC dan SRITI adalah sebahagian daripada kaedah untuk menghimpunkan jutaan pengundi muda di dalam satu platform.

Pendekatan BPMS ini bukan sahaja lebih berkesan terutama dalam masyarakat Melayu yang bencikan budaya keras dan ‘politiking’ melampau, malah ianya juga menepati sirah perjuangan Islam yang mengutamakan pendekatan damai dan berkebajikan. 

Dalam masa terdekat, BPMS perlu diserlahkan dengan penguasaan media baru dan khidmat kebajikan, di samping fokus utama untuk membina kepercayaan rakyat dan menghilangkan relevansi ‘pemain lama’ iaitu UMNO dan DAP dalam pentas politik negara.  

Jika Emmanuel Macron berjaya menjadi 'Uber' dalam politik Perancis, generasi muda Malaysia juga berpeluang untuk mencorak budaya politik baru melalui wadah BPMS dalam PRU14 yang akan datang.

- Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
- 27 Julai 2017