Jum08182017

Last updateKha, 17 Ogs 2017 5pm

Back Utama Berita/Kenyataan DPPP MINDA ANAK MUDA | Mulianya Melayu Dengan Islam

MINDA ANAK MUDA | Mulianya Melayu Dengan Islam


Mulianya Melayu dengan Islam

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai manusia! Kami ciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berpuak-puak dan berqabilah supaya kamu mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu ialah yang paling bertaqwa (kepada Allah) di kalangan kamu, sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Mahu mendalam pengetahuanNya. (Al-Hujuraat:13)

Al-Quraan adalah kitab petunjuk daripada Allah kepada manusia. Kesemua isi kandungannya tidak lain tidak bukan melainkan untuk memandu manusia ke jalan yang lurus. Apabila Al-Quraan menyebut kejahatan dan keburukan satu-satu kaum dan bangsa bukan bertujuan untuk menghinanya tetapi sebagai iktibar supaya manusia lain tidak mengikutnya. Inilah manhaj Al-Quraan dalam membina diri manusia supaya berbakti kepada TuhanNya yang mencipta alam ini.  

Kaum dan bangsa yang paling banyak disebut di dalam Al-Quraan ialah kaum Yahudi/Banu Israel. Mereka dimuliakan oleh Allah bukan kerana kebanyakan anbiya dari kalangan mereka akan tetapi kerana mereka mengikut petunjuk Allah yang dibawa oleh nabi-nabi mereka. Setelah mereka menyeleweng, mereka dimurkai dan dihina oleh Allah dengan sehina-hinanya. Sebanyak 50 surah disebut di dalam Al-Quraan tentang kejahatan mereka. Merekalah kaum yang mempersendakan Allah, membunuh anbiya, melakukan kerosakan, penyebab kepada peperangan dan lain-lain lagi. Tujuan ianya disebut bukan untuk menghina dan merendah-rendahkannya akan tetapi sebagai peringatan dan pengajaran. Jikalau tujuannya kerana zat kaum dan bangsa semata-mata masakan Nabi Muhammad s.a.w mengahwini perempuan daripada Banu Israel dan menerima bangsa Banu Israel memeluk Islam seperti Abdullah bin Salaam dan lain-lain lagi.

Samalah juga permusuhan umat Islam dengan bangsa Yahudi di Israel pada hari ini, bukan kerana mereka berbangsa Yahudi tetapi kerana sikap dan tindakan mereka yang menzalimi, merampas dan menindas rakyat Palestin.     

Jikalau begitu kedudukannya dengan bangsa Yahudi maka samalah juga dengan bangsa dan keturunan lain, semua manusia adalah sama daripada Nabi Adam a.s, yang paling mulia ialah yang paling baik perangainya dengan mengikut panduan Islam. Abu Jahal tetap hina walaupun daripada keturunan Arab. Bilal bin Rabah mulia di sisi Allah walaupun dari keturunan Afrika. Mulianya bangsa Arab kerana mereka berpegang dengan Islam sehingga satu pertiga dunia berada di tangan mereka. Akan tetapi pada hari ini mereka berpecah, berperang sesama sendiri dan berbunuhan antara satu sama lain setelah mereka meninggalkan Islam.

Justeru PAS sebagai sebuah parti Islam sentiasa mengajak semua bangsa dan kaum supaya kembali kepada Islam khususnya bangsa Melayu. Kemulian orang Melayu ialah dengan Islam bukannya dengan zat bangsa Melayu. Inilah beza perjuangan yang berasaskan Islam dan perjuangan yang berasaskan perkauman yang sempit. UMNO yang memperjuangkan kebangsaan Melayu hanya pada kulitnya sahaja bukan pada roh dan jatidirinya. Dimana kedudukan tulisan jawi yang menjadi jatidiri kepada bahasa Melayu setelah ianya dimansuhkan oleh bangsanya sendiri. Dimanakah kedudukan tanah rizab Melayu setelah ianya digadaikan oleh bangsanya sendiri. Dimanakah kedudukan politik Melayu Islam setelah pemimpin-pemimpinnya hanya mementingkan kroni dan orang keliling. Apa yang UMNO lakukan sebelum ini untuk bangsa Melayu yang ketinggalan di Pulau Pinang sehingga hari ini baru hendak berkokok. Negeri-negeri yang majoritinya Melayu tidak ditambahkan kerusi parlimen kerana bimbang akan dimenangi oleh parti seteru yang sebangsa dengannya, dalam masa yang sama menambah kerusi-kerusi di negeri-negeri yang bercampur dengan bangsa dan kaum lain. Tindakan menafikan hak royalti minyak kepada Terengganu dan Kelantan suatu ketika dahulu adalah contoh jelas sifat hipokrit UMNO terhadap negeri-negeri Melayu. Pemimpin UMNO sendiri yang mengakui wujudnya penyakit rasuah kronik dalam diri parti UMNO, dalam masa yang sama menyebarkannya kepada bangsa Melayu demi untuk mendapatkan sokongan. Kita tidak perlu menuding jari terhadap orang lain dengan alasan aku lebih Melayu daripadanya selagimana kita tidak meletakkan Islam sebagai jalan penyelesaian terhadap masalah-masaalah yang berlaku dalam negara pada hari ini.

PAS bukannya parti perkauman tetapi parti yang meletakkan kaum di tempatnya yang adil. Dalam konteks Malaysia, bangsa Melayu Islam mestilah memegang tampuk pemerintahan kerana itulah keadilannya. Negara Jepun yang paling maju meletakkan bangsa Jepun sebagai ketua negara bukannya bangsa Inggeris. Negara Jerman yang paling terkehadapan di benua Eropah meletakkan bangsa Jerman sebagai ketua negara bukannya bangsa Perancis.

PAS bukannya parti yang menentang individu tetapi sebuah parti yang mahukan perubahan dasar dan polisi untuk kepentingan ugama, bangsa dan negara. Rosaknya fikiran bangsa Melayu bukan kerana Tun Mahathir yang didakwa bukan keturunan Melayu, akan tetapi kerana dasar UMNO yang membela Melayu tertentu dan menzalimi Melayu lain kerana berlainan aliran politik dengannya. Walaupun Tun Mahathir telah meninggalkan UMNO, Melayu tetap rosak jika meneruskan agenda-agenda yang salah dan bercanggah dengan Islam.  

PAS menyeru kepada bangsa Melayu supaya kembali kepada Islam sebagai jalan penyelesaian bukan penyelesaian cara UMNO yang menggula-gulakan bangsa Melayu dengan janji-janji manis kebendaan setiap kali tibanya musim pilihanraya. Seruan ini adalah konsisten sejak daripada penubuhan PAS sehinggalah pada hari ini. Masih belum terlambat kepada bangsa Melayu untuk kembali ke pangkal jalan.

“Mara Menuju Cita”

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS 2017/19
10 Zulkaedah 1438 bersamaan 2 Ogos 2017