Jum08182017

Last updateKha, 17 Ogs 2017 5pm

Back Utama Berita/Kenyataan DPPP KENYATAAN MEDIA DPPM | “Nik Nazmi Keliru, Kutip Suara Picisan

KENYATAAN MEDIA DPPM | “Nik Nazmi Keliru, Kutip Suara Picisan


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
11 Ogos 2017 | 18 Zulkaedah 1438

“NIK NAZMI KELIRU, KUTIP SUARA PICISAN”

1.    Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad dinasihat memberi perhatian kepada PKR dan ahlinya berbanding sibuk membuat tanggapan dan dakwaan melulu dari sumber picisan yang tidak menjejak realiti. Terlalu dangkal dan tidak matang untuk Nazmi mengukur ‘trend’ sokongan kepada pimpinan PAS berdasar ‘pungutan suara’ dari sampel rawak atau kelompok terhad.

2.    Sewajarnya beliau bersandarkan pada data yang empirik, realiti, berkredibiliti dan berintegriti antaranya Mesyuarat Agung atau Muktamar PAS atau keputusan pilihan raya. Sekadar mengutip maklumat tepi jalan, lebih baik beliau audit PKR dan ahlinya sendiri. Juga lebih banyak perhatian untuk beliau teliti ‘trend’ sokongan terhadap kepimpinan PKR sejak dari Langkah Kajang dahulu.

3.    Tindakan yang membawa banyak hiruk pikuk dalam politik itu menimbulkan pertikaian tidak sedikit, selain terjadinya isu-isu tidak berasas hingga berakhir dengan permohonan maaf di mahkamah untuk menamatkan fitnah-fitnah dilakukan. Apakah anda tidak sedar rakyat menilai dan melihat kematangan ahli-ahli politik dalam menentu hala tuju dan kestabilan negara, bukannya pembodohan.

4.    Atau beliau yang tergugat dengan kerencaman wacana terbuka rakyat, tetapi angkuh untuk melihat kelemahan dan mencermin diri? Jangan kerana ingin meraih populariti politik, beliau memilih memburukkan PAS. Sedangkan PAS telah membuktikan keterbukaan dan medannya untuk akar umbinya menyatakan sesuatu. PAS parti yang bebas dan terbuka untuk ahli bertemu dan menegur pimpinan.

5.    PAS juga tidak emosi dan sentimen atau mengambil kesempatan dalam melaksanakan mandat kepercayaan rakyat. Pendirian dan tindakan PAS jelas berdasarkan prinsip serta dasar parti yang tidak berubah atas sebarang kepentingan, namun cermat dan bijak dalam pendekatan. Kerana itulah PAS masih mengekalkan sokongan kepada Kerajaan Negeri Selangor.

6.    Terbatalnya ‘tahaluf siyasi’ bersama PKR adalah dalam konteks ikatan rasmi kerjasama antara parti. Tetapi hubungan berkaitan kepentingan rakyat dan rutin kehidupan adalah tanggungjawab yang tidak terputus sama sekali. Jika Nazmi keliru antara perbezaan ini bermakna anda terlalu mentah dalam politik dan tidak komited terhadap amanah yang terpikul selaku ahli politik.

7.    Sedang PAS, konsisten memperjuang hak rakyat dan negara secara adil dan sejahtera untuk semua tanpa mengira latarbelakang sokongan parti. Selaku ahli politik sama ada dari pembangkang atau kerajaan, sewajibnya mengambil inisiatif ‘win-win’ dalam menuju penyelesaian setiap isu dibangkitkan rakyat. Kerana itu, dalam kerjasama berkaitannya, PAS terbuka menerima mana-mana pihak.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia