Sel09262017

Last updateIsn, 25 Sep 2017 3pm

Back Utama Berita/Kenyataan DPPP KENYATAAN MEDIA DPPM | Peristiwa Memali Adalah Jenayah, Bukan Isu Kecil

KENYATAAN MEDIA DPPM | Peristiwa Memali Adalah Jenayah, Bukan Isu Kecil


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
20 Ogos 2017 | 27 Zulkaedah 1438

“PERISTIWA MEMALI ADALAH JENAYAH, BUKAN ISU KECIL”

1.    Bidasan Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub bahawa PAS sengaja menimbulkan isu Memali demi meraih undi merupakan satu keangkuhan, keceluparan dan di luar kewarasan. Walhal, peristiwa berdarah tahun 1985 itu merupakan tragedi kritikal negara yang berkait jenayah dan masih menuntut pengadilan terhadapnya terutama terhadap mangsa, keluarga serta entiti diwakili mereka.

2.    Ianya perbahasan berkait soal nyawa terkorban, maruah dan segala kesan yang dicabut tanpa hak secara tindakan di luar kewajaran oleh pihak memiliki kuasa. Malah, PAS tidak pernah sekalipun berhenti mengajukan pembelaan terhadap peristiwa itu. Bahkan PAS masih tegas memegang pendirian bahawa semua mereka itu sengaja dibunuh dan dizalimi, serta kematian mereka adalah syahid.

3.    Pertimbangan Salahuddin juga celaru dan salah, sekali gus menunjunjukkan peribadi sebenar parti beliau apabila menganggap perkara tersebut telah lama dan tidak terlalu besar baginya. Sedangkan selama ini PAN ghairah berbicara mengenai maqasid syariah, rupanya mereka meremehkan mengenai nyawa yang menjadi jaminan pemeliharaan penting terhadap tujuan syariah.

4.    Jika demikiannya pendirian PAN ketika tiada kuasa, bagaimana lagak zalimnya jika berada di singgahsana pemerintahan? Sedang PAS berpegang sebagaimana ketegasan Khalifah Umar al-Khattab RA bahawa orang lemah dan dizalimi adalah kuat di sisi pemerintah dengan diberi haknya, manakala orang kuat kerana kezalimannya adalah lemah di sisi pemerintah hingga diambil haknya.

5.    Ternyata hakikatnya, PANlah yang melindungi serta bersekongkol dengan kemungkaran dan kejahatan hanya semata-mata pelaku tragedi itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kini menjadi teraju penting Pakatan Harapan. Inilah politik paling durjana yang berteraskan kepentingan dan nafsu di mana kini sanggup melakukan apa sahaja biarpun bertentang dengan prinsip dan norma kemanusiaan.

6.    Membuktikan juga PAN hanya menjadikan sebutan “Rahmatan Lil ‘Alamin” sebagai slogan semata, padahal sudah pun memihak kepada kezaliman nyata yang menindas. Sekiranya mereka berani untuk melihat kebenaran isu ini, tidak perlu gusar untuk menyokong desakan agar diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Hanya ketelusan akan menzahirkan sikap sebenar PAN.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia