Sel09262017

Last updateIsn, 25 Sep 2017 3pm

Back Utama Berita/Kenyataan DPPP DPPM | Kejayaan Sukan Sea 2017 : Memperkasa Perpaduan Nasional

DPPM | Kejayaan Sukan Sea 2017 : Memperkasa Perpaduan Nasional


Kejayaan Sukan SEA 2017: Memperkasa Perpaduan Nasional

Kejohanan sukan yang diadakan sememangnya mampu menjadi titik perpaduan yang sangat penting buat rakyat sesebuah negara. Dalam apa sahaja acara sukan, rakyat akan bersatu padu dalam menyokong Pasukan negara, sebagai salah satu bukti kecintaaan dan kesetiaan seorang rakyat kepada tanah airnya.

Rakyat boleh berbeza pandangan dalam sesuatu isu yang dihadapi negara. Namun, kita seharusnya tetap bersama bersatu hati menyokong atlit negara yang bersaing dengan pasukan lawan ketika sesuatu acara sukan yang dipertandingkan.

Kecintaan kepada tanah air ini merupakan sebenarnya fitrah nanusia. Nabi SAW ketika peristiwa Hijrah, tetap mempunyai perasaan cinta dan sayang kepada tanah lahirnya iaitu Mekah Al Mukarramah. Baginda tetap berasa sedih untuk meninggalkan bumi Mekah, bumi Baginda SAW dilahirkan dan dibesarkan.

Walaupun terpaksa berhijrah ke Madinah demi tuntutan agama, di hati baginda tetap mempunyai kecintaan kepada Mekah dan Nabi bertekad untuk kembali semula ke tanahairnya dan membukanya (futuhat) dengan kemurniaan Sistem Kenegaraan Islam.

Islam memandang agenda Perpaduan Nasional ini sangat penting dalam pembangunan negara. Sewaktu Nabi Muhammad SAW membangunkan negara Madinah, Rasullullah SAW telah mengambil pendekatan perpaduan di kalangan kabilah yang berada di Madinah serta kehadiran para sahabat dari Mekah di dalam penstrukturan Sistem Pentadbiran Negara melalui Piagam Madinah.

Nabi SAW mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar, mendapatkan komitmen perpaduan kaum Aus dan Khazraj, kabilah-kabilah kecil yang telah lama menetap di Madinah serta orang Yahudi Madinah untuk sama-sama berganding bahu membangun dan mempertahankan bumi Madinah. Inilah contoh perpaduan nasional yang ditunjukkan secara praktikal oleh Rasulullah SAW kepada kita.

Dengan kejayaan sebagai juara dan penganjuran yang gemilang dalam Sukan SEA KL 2017 ini, kita perlu mengambil peluang untuk memperkuatkan perpaduan & Integrasi Nasional di kalangan rakyat, tanpa mengira perbezaan pandangan atau latarbelakang yang ada di kalangan kita dalam apa jua isu. Bukankah kita telah bersama membina negara ini sejak sekian lama?

Kita seharusnya cuba untuk mengenepikan seketika perbezaan kita dalam banyak perkara kita mengurus negara ini, dan mengucapkan tahniah kepada atlit dan pasukan Malaysia yang telah menjuarai Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur tempohari. Tidak dilupakan, kita juga harus terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlit paralimpik Malaysia dalam Sukan Paralimpik ASEAN yang akan berlangsung pertengahan bulan ini.

DPPM juga mengharapkan usaha untuk mempastikan aktiviti sukan yang dianjurkan di negara ini selari dengan kehendak syariat dapat diteruskan dan dimantapkan.
 
Penyediaan ruang solat yang selesa bagi atlit dan penonton, penekanan kepada menutup aurat bagi yang muslim serta atlit dan pegawai sukan yang menunjukkan akhlak yang baik dalam permainan diharap dapat menjemput keredhaan Allah SWT kepada semua dan mempertingkatkan imej Malaysia di mata dunia.

Saya juga mengambil kesempatan ini mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, PDRM, Sukarelawan KL2017 serta semua pihak yang telah berjaya memberikan kejayaan sebagai juara keseluruhan dan penganjuran KL2017 yang penuh gemilang.

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berasa bangga kerana menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat dunia bahawa kita adalah sebuah negara bersatu hati dan mampu hidup dengan harmoni dalam kepelbagaian kaum.

Sesungguhnya, Islam adalah asas Integrasi Nasional dan Rahmat kepada seluruh alam.

#KL2017
#BangkitBersama
#NegarakuMalaysia
#KitaJuara

Ir Hj Khairil Nizam Khirudin,
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Merangkap,
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dan Hubungan NGO