Sel09262017

Last updateIsn, 25 Sep 2017 3pm

Back Utama Berita/Kenyataan DPPP KENYATAAN MEDIA DPPM | “Jakim Wajib Tangani Individu Seperti Siti Kasim"

KENYATAAN MEDIA DPPM | “Jakim Wajib Tangani Individu Seperti Siti Kasim"



KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
8 September 2017 | 17 Zulhijjah 1438

“JAKIM WAJIB TANGANI INDIVIDU SEPERTI SITI KASIM”

1. Kesesatan daripada putar belit disengajakan aktivis liberal, Siti Kasim perlu segera dibendung dan ditangani dengan tegas oleh pihak berkuasa. Bukan baharu beliau mengutarakan perihal berkaitan Islam secara fakta yang dusta dan rekayasa, malah acapkali mengelirukan, memperlekeh, menghina dan biadap.

2. Keterlaluannya telah mengundang kontroversi yang boleh menggugat ketenteraman serta salah faham awam dan segala kemungkinan negatif lain. Malah, kebebasannya menjadikan Siti Kasim angkuh dan celupar, selain berani mencabar pelbagai autoriti. Maruah dan kesucian Islam tidak boleh dikompromi kepada sesiapa jua.

3. Kami yakin, jika sekiranya masalah ini tidak diambil tindakan sewajarnya, ianya akan membarah dan menimbulkan kacau bilau kepada pegangan kefahaman dan akidah umat Islam. Pengajaran harus diambil dari negara jiran, Indonesia yang hampir empat dekad pernah dicemari oleh wacana pemikiran sedemikian.

4. Namun untuk mengubatinya, menempuh cabaran yang amat memeritkan. Bahkan secara tidak langsung, usaha memartabatkan Islam dan menjadikannya naungan rahmat kepada semua pihak selaras ketinggian dalam Perlembagaan Malaysia juga sukar dan akan sering dikontroversikan.

5. Pihak berkuasa perlu menguatkuasakan tindakan selaras diperuntukan akta atau enakmen tanpa perlu takut kepada kalangan yang mencela. Kerajaan juga digesa menggubal perundang tambahan terutama berkaitan kewenangan golongan ini menyebarkan pemikiran songsang mereka di pelbagai bentuk media.

6. Kami turut menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertindak dengan memanggil dan jika perlu ditahan individu-individu seperti ini untuk tujuan kaunseling dan bimbingan komprehensif supaya golongan ini diperbetulkan dan insaf bertaubat kembali ke pangkal jalan. Jika sebelum ini, JAKIM pernah bertindak ke atas banyak pihak yang mempelopori ajaran sesat, maka tidak ada sebab individu seperti Siti Kassim tidak boleh diatasi dengan pencegahan khas sebelum banyak lagi pihak dikelirukan dengan dakyah sesat seperti yang dicetuskan hari ini. Kami percaya, Malaysia mempunyai kepakaran yang banyak dalam menguruskan perkara ini.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

AHMAD FADHLI SHAARI
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia