Isn06262017

Last updateAhd, 25 Jun 2017 6pm

20 Ramadhan: Beramallah Sehingga Mencapai Tahap Ikhlas, Bukan Menunggu Ikhlas Baru Beramal



20 RAMADAN: BERAMALLAH SEHINGGA MENCAPAI TAHAP IKHLAS, BUKAN MENUNGGU IKHLAS BARU BERAMAL

?Ikhlas adalah aspek dalaman manusia yang dikaitkan sebagai sebab akhir kenapa kita melakukan sesuatu perkara iaitu melakukan amalan hanya kerana Allah. Amalan dilakukan bukan kerana kepentingan tertentu tetapi untuk Allah. Oleh sebab itu, apabila kita ikhlas, kita terus melakukan amalan sama ada ketika keseorangan atau ketika ramai, ketika dipuji atau tidak.

Kita tidak perlu menanti ikhlas baru beramal, tetapi kita perlu beramal hingga mencapai tahap ikhlas. Kita mungkin rajin melakukan solat sunat ketika di masjid, tetapi apabila di rumah tidak melakukan solat sunat malahan doa pun tiada. Ketika Ramadan, kita rajin baca Quran tetapi sebelum Ramadan, kita tidak sentuh pun Quran. Tetapi itu tidak mengapa kerana itu adalah proses untuk mencapai tahap ikhlas. Ketika mana anak dan adik berumur 6 tahun mungkin mereka berpuasa atas tawaran yang kita janjikan. Setelah dewasa mereka terus istiqamah.

Kalau kita rajin solat ketika ditengah orang ramai, mungkin ada tanda tidak ikhlas dalam beramal, namun ia adalah proses yang perlu kita lalui untuk mencapai tahap ikhlas. Menanti ikhlas baru beramal, mungkin hanya kita sedekah 50 sen sahaja kerana jumlah sedekah itu yang ikhlas. Atau hanya solat tarawih 2 rakaat sahaja, kerana kalau lebih tidak ikhlas pula. Ini silap, kerana kita perlu beramal hingga mencapai tahap ikhlas.

?Proses kerohanian bagi mencapai tahap ikhlas memang mengambil masa yang lama. Sesuatu amalan itu dilakukan secara istiqamah bertahun-tahun barulah ia menjadi sebati dalam hidup. Akhirnya, sesuatu amalan itu dilakukan sama ada di hadapan orang atau pun ketika keseorangan.

Ikhlas bukan suatu perkara yang mudah seperti disangka. Ia selalu diserang hendap oleh nafsu manusia yang ingin dipuji, dipandang hebat dan dimuliakan yang secara tidak sedar kita tertipu dengan amalan yang dilakukan. Justeru, niat bukan sekadar menyebutnya di awal melakukan amalan, tetapi ia perlu sentiasa hadir di dalam hati bahawa amalan itu dilakukan “kerana Allah”, bukan kerana makhluk yang lain. Ia mengambil masa yang panjang sehingga amalan kita menjadi sebati dengan diri kita.

Istiqamahlah dalam beramal. Setakat 20-30 hari belum cukup lagi untuk menjamin kita terus kekal. Namun, kita perlu terus bertahan, bukan sekadar akhir Ramadan, tetapi untuk selepas Ramadan.

Dr. Muhamad Faisal