Isn08212017

Last updateSel, 22 Ogs 2017 9am

Dermawan Adalah Sifat Orang Berpuasa

Catatan Ramadhan 5

Dermawan Adalah Sifat Orang Berpuasa

Ibnu Abbas radiyallahu anhuma dalam Hadis Bukhari menceritakan perihal Baginda saw:

"Rasulullah saw merupakan orang yang paling dermawan. Baginda lebih dermawan pada bulan Ramadhan ketika baginda ditemui oleh Jibril. Jibril mendatangi Rasulullah saw pada setiap malam Ramadhan lalu menyemak bacaan al-Quran (tadaarus) dengan baginda. Baginda saw benar-benar lebih dermawan melakukan kebajikan berbanding angin yang diutuskan (membawa hujan)."

Sikap dermawan mengambarkan jiwa seseorang yang tidak terikat hati dengan kebendaan. Dunia dan harta bagi seorang dermawan sangat kecil nilainya lalu dia bersedia untuk berkongsi dengan insan lain.

Bulan Ramadhan menerusi amalan berpuasa, berqiyam malam (bertarawih) dan membaca al-Quran mendidik jiwa untuk lebih mencintai akhirat berbanding dunia.

Justeru, baginda saw apabila masuk bulan Ramadhan lebih dermawan berbanding hari-hari lain.

Setiap orang boleh membelanjakan hartanya di jalan Allah menurut kadar kemampuan masing-masing. Malah walau dengan sebelah buah kurma yang dilihat tidak ada nilai namun ia tetap dinilai di sisi Allah.

Moga kita bersedia mencontohi Rasulullah saw.

Sekian.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Rabu 17 Ramadhan 1437 h / 22 Jun 2016

Makkah al-Mukarramah jam 6.40 ptg.

www.drtakiri.blogspot.com