Isn08212017

Last updateSel, 22 Ogs 2017 9am

Back Utama Artikel Dewan Muslimat PAS Sarawak Muktamar DMPNS Kali Ke-12: Wala' Keputusan Syura, Menang Tanpa Bertanding

Muktamar DMPNS Kali Ke-12: Wala' Keputusan Syura, Menang Tanpa Bertanding

Sibu - Alhamdulillah 'ala kulli haal, pada 1 April 2017 yang lepas iaitu bersamaan dengan 3 Rejab 1438 pada hari Sabtu, bertempat di Hotel Kawan Sibu, telah berlangsung dengan jaya dan lancarnya Muktamar Negeri Sarawak yang dirasmikan oleh Tuan Guru Dato' Dr Mahfodz Mohamed,  Ketua Dewan Ulama' PAS Malaysia.

Perasmian tersebut diadakan serentak bagi ketiga-tiga Dewan PAS Sarawak iaitu  Dewan 'Ulamak PAS Negeri Sarawak (DUPNS), Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (DPPNS) dan Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS). Turut hadir pada perasmian tersebut ialah Dr. Najihatussalehah Bt Ahmad, Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat PAS Malaysia merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perak selaku pemerhati jemputan bagi Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak yang ke-12.

Dua anugerah telah disampaikan pada perasmian tersebut iaitu Anugerah Khas Jabatan PASTI Terbaik dan Anugerah Jabatan Pilihanraya Terbaik yang telah disampaikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak iaitu Saudara Mohammad Arifiazul B Paijo. Selain itu juga dua lagi penyampaian Sijil Pendaftaran penubuhan DMPK baru iaitu Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Samarahan dan  Dewan Muslimat PAS Kawasan Batang Lupar yang disampaikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak, Puan Juliani Adini. Dengan ini, telah menjadikan jumlah Kawasan PAS berdaftar bertambah menjadi enam kawasan atau Dewan.

Tiada pemilihan pada Muktamar kali ini di mana semua jawatan bagi Dewan 'Ulamak PAS Negeri Sarawak (DUPNS), Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (DPPNS) dan Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS) sesi 2017-2019 telah dimenangi tanpa bertanding. 

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak bagi sesi 2015 - 2017 masih kekal disandang oleh Puan Juliani Adini bagi sesi 2017 -2019. Begitu juga dengan Timbalan Ketua Dewan Muslimat iaitu Ustazah Juliana Muhammad dan Naib Ketua Dewan Muslimat, Puan Habsah Bt Bujang.



Kehadiran muktamirat Dewan Muslimat PAS negeri Sarawak kali ini telah dihadiri oleh lebih daripada 100 peserta Perwakilan dan juga Pemerhati dari seluruh negeri Sarawak termasuklah barisan Pimpinan DMPNS.

Muktamar DMPNS juga berjalan dengan lancar dan tenang namun penuh bersemangat seperti yang ditonjolkan dalam perbahasan yang disampaikan oleh setiap perwakilan dari setiap kawasan termasuklah perbahasan Ucaptama Ketua Dewan Muslimat. Antara isi perbahasan yang paling bersemangat dari perwakilan Dewan Muslimat PAS Kawasan Miri (DMPKM), yang mana beliau telah mengingatkan para Muktamirat tentang Umar Bin Abdul Aziz semasa diangkat menjadi Khalifah pada dinasti Bani Umayyah. Antara ucapan Umar B Abdul Aziz dalam pidatonya selepas perlantikannya: 

“Wahai manusia, tiada nabi selepas Muhammad SAW dan tiada kitab selepas al-Quran yang telah diturunkan kepadanya. Ingatlah apa yang telah dihalalkan oleh Allah Azzawajalla tetap halal sehingga ke hari kiamat, dan apa yang diharamkan oleh Allah, tetap haram hingga ke hari kiamat. Ingatlah! Aku bukan seorang hakim (penghukum) tetapi aku pelaksana hukum Allah, ketahuilah sesungguhnya aku bukan orang yang mencipta ajaran baru, tetapi hanyalah seorang pengikut ajaran Allah dan Rasulullah SAW. Ketahuilah! Sesungguhnya aku bukanlah orang yang paling baik di antara kamu, tetapi Allah telah menjadikan aku orang yang paling berat memikul tugas. Aku mengucapkan ucapan ini sedangkan aku tahu aku adalah orang yang paling banyak dosa di sisi Allah”

Petikan daripada ucapan pidato Umar Bin Abdul Aziz tersebut In Shaa Allah dapat memberi panduan dan semangat kepada seluruh penggerak Muslimat PAS untuk terus bersemangat dan meredah apa jua ujian dan rintangan demi perjuangan ini serta redha dengan segala ketentuan Allah SWT.


Di akhir Muktamar, Dr. Najihatussalehah dalam ucapan beliau tidak ketinggalan menyuntik kata-kata semangat buat mujahidah Sarawak yang istiqamah berjuang di Sarawak Darul Hana ini. Antara kata-kata semangat daripada beliau buat penggerak Muslimat PAS di Sarawak ialah,  terlalu banyak kerja dan tugas yang amat berat yang harus digalas dan dipikul di Sarawak ini. Inilah cabaran buat semua para muslimat untuk mengembangkan sayap dakwah di Sarawak untuk mengajak lebih ramai orang-orang ke jalan Allah. Inilah peluang terbesar kita untuk menggarap sebanyak-banyak pahala dan bekalan untuk menuju akhirat kelak andai tugas-tugas ini dapat dilaksanakan dengan baik. Dr. Najihatussalehah juga menyeru muktamirat untuk menghayati firman Allah SWT dari surah An-Nahl ayat 125 yang bermaksud: 

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk".

Di akhir ucapan beliau, Dr. Najihatussalehah mengingatkan para muktamirat bahawa Islam ini bukan untuk diri kita sahaja tapi untuk semua. Di akhirat kelak, Allah akan bertanya apa yang telah kita laksanakan dan sumbang di jalan Allah sepanjang kehidupan kita ini? 


Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak kali yang ke-12 di akhiri dengan ucapan penggulungan daripada Ketua Dewan Muslimat Sesi 2017-2019 yang sungguh bersemangat sehingga ada di kalangan muktamirat yang menitiskan air mata. Di awal ucapan beliau, Puan Juliani mengajak para muktamirat untuk menghayati Sirah tulisan Ibnu Ishaq; suatu ketika Sa'ad Bin Muadz telah menyampaikan pidato di hadapan baginda Ar-Rasul SAW ketika hampir untuk pergi berjihad di medan Badar. Antara intipati ucapan beliau:

“ Demi Allah, seolah-olah engkau wahai Rasulullah amat berhajat atau mahu sesuatu dari kami?. Jawab baginda: Ya. Katanya lagi: Ya Rasulullah, kami percaya dengan kamu, kami telah membenarkan risalah kamu, kami juga telah mempersaksikan kamu bahawa apa yang kamu bawa adalah benar, kami telah memberikan kepada kamu untuk tujuan itu, segala janji dan ikatan setia kami untuk dengar dan taat, teruskan wahai Rasulullah melaksanakan kehendakmu. Kami tetap bersamamu. Demi Allah yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, kalaulah terbentang luas di hadapan kami lautan yang dalam dan engkau mengharunginya, maka kami akan turut harunginya bersama kamu, tidak ada seorangpun dari kami yang akan ketinggalan (berundur ke belakang), kami sekali-kali tidak akan berpaling dari bertemu musuh esoknya. Sesungguhnya kami pasti bersabar dalam berjuang (berperang), tetap benar ketika bertemu musuh, mudah-mudahan Allah memperlihatkan kepada engkau akan sikap kami yang dapat menyejukkan (menenteramkan) kedua matamu, maka berjalanlah ke medan jihad bersama kami di atas keberkatan dari Allah. Maka baginda Rasulullah SAW merasa gembira dengan kata-kata Sa'ad bin Muadz dan sikap aktifnya, lantas baginda bersabda:

"Berjalanlah (berangkatlah ke medan jihad), bergembiralah, sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepada aku dengan kemenangan salah satu dari dua golongan. Demi Allah! Seolah-olah sekarang, aku melihat  ke tempat pertempuran kaum." Ibnu Ishaq [3/161, 162]

Melalui kisah-kisah dan keperibadian Saad B Muadz ini, Puan Juliani menyeru para muslimat untuk mengambil panduan dan menerapkan ucapan Saad B Muadz itu ke dalam diri dan juga perjuangan PAS demi menegakkan panji Islam di muka bumi ini khususnya di Negeri Sarawak. Melalui sirah tersebut juga, Puan Juliani telah menghuraikan satu persatu dengan memecahkan ucapan Sa'ad dalam bentuk yang lebih mudah difahami untuk diaplikasikan dalam komitmen kita berjemaah di dalam jemaah PAS. Rumusan dari kesimpulan yang disebut oleh Puan Juliani berdasarkan ucapan Sa'ad Bin Muadz dalam ucapan beliau :

  1. Sifat Proaktif - (Sensitif terhadap halatuju dan polisi jemaah)
  2. Keimanan terhadap risalah - (Yakin dengan risalah yang dibawa oleh dasar perjuangan PAS dan risalah Islam serta yakin pada perjuangan PAS)
  3. Thiqah terhadap manhaj - (berada di tangga teratas di dalam hiraki kepimpinan bahkan ia ibarat kepala kepada tubuh badan. Qiyadah yang cemerlang di dalam membuat keputusan dan mengurus perancangan organisasi atau jamaah akan mampu melakukan proses pembaharuan dan perubahan. Paling minima mendekatkan jamaah untuk mencapai matlamatnya.
  4. Saling berjanji setia dan berbai'ah - (Berbai'ah kepada jemaah PAS)
  5. Taat - (Wala' pada pimpinan serta akur dengan keputusan syura)
  6. Komited - (dalam merealisasikan visi jemaah)
  7. Disiplin - (Sentiasa istiqamah bersama jemaah)
  8. Sifat Sabar - (Sabar adalah penting dalam berjemaah dan dalam berjuang hatta saat bertemu musuh) 
  9. Sifat Thabat - (Tetap dan teguh dengan perjuangan PAS walaupun mengharungi pelbagai mehnah dan tribulasi)

Di akhir ucapan beliau, Puan Juliani dengan rasa sebaknya menyatakan bahawa beliau dan juga barisan kepimpinan DMPNS yang telah terpilih ini bukanlah yang terbaik. Tetapi barisan terpilih ini sedang menerima ujian daripada Allah. Ujian untuk memikul amanah yang berat. Diberi jawatan yang bukan dipinta malah semua semahunya menolak jawatan. Kerana dengan amanah yang berat ini adalah sesuatu yang kita akan tanggung dan kita jawab. Jawab kepada siapa? Jawab kepada Allah. Namun, dengan amanah yang diberi ini, mahu tidak mahu kita harus memikirkan ianya bukan untuk diri kita, tetapi untuk perjuangan Islam. In Shaa Allah barisan kepimpinan DMPNS akan melaksanakan amanah tersebut dengan sebaik-baiknya kerana Allah. In shaa Allah.

Allahu ta'ala a'lam

Siiru 'ala barakatillah.