Ahd05282017

Last updateAhd, 28 Mei 2017 1am

Back Utama Artikel Dewan Muslimat PAS Sarawak Sambutan Hari Guru Muslimat Petra Jaya Disambut Meriah

Sambutan Hari Guru Muslimat Petra Jaya Disambut Meriah

PETRA JAYA , 16 Mei 2017- Setiap tahun tanggal 16 Mei merupakan tarikh azimat yang diingati oleh setiap insan. Masakan tidak, setiap dari kita pasti mendapat didikan dari insan yang bergelar guru. Sehebat mana seseorang itu, semuanya melalui didikan dari guru-guru.

Oleh itu, bagi meraikan jasa dan pengorbanan para guru, Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Petra Jaya (DMPKPJ) telah mengambil inisiatif menganjurkan Sambutan Hari Guru bagi tahun 2017. Majlis ini diadakan bagi meraikan ahli-ahli DMPKPJ dalam kalangan guru serta guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) di sekitar Petra Jaya.


Majlis ini turut dihadiri oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Petra Jaya, En.Morshidi. Dalam ucapan perasmian, Encik Morshidi mengingatkan para guru untuk sentiasa muhasabah diri sejauh mana guru memainkan peranan membentuk generasi rabbani. Biarpun ganjaran yang diterima tidak terlalu besar, namun sangat besar nilaian ganjaran pahala di sisi Allah.

Beliau menambah, cabaran guru pada hari ini semakin besar. Oleh itu penting bagi guru untuk sentiasa menimba ilmu pengetahuan apatah lagi dalam usaha pengamalan Pembelajaran Abad ke-21 pada hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua guru PASTI atas setiap usaha mendidik anak-anak PASTI. Pendidikan di PASTI telah memberi impak yang sangat besar dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Majlis turut dimeriahkan dengan nyanyian lagu rasmi PASTI dan SRITI, lagu Fly Kenyalang Fly High dan Kami Guru Malaysia seusai ucapan YDP PAS Petra Jaya.

Majlis Sambutan Hari Guru diteruskan dengan acara memotong kek dan jamuan. Disamping meraikan hari guru, majlis ini dilihat dapat mengeratkan ukhuwah antara ahli DMPKPJ serta guru-guru PASTI dan SRITI. Semoga aktiviti sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.