Sel07252017

Last updateIsn, 24 Jul 2017 11pm

Back Utama Artikel Dewan Muslimat PAS Sarawak Perutusan Aidilfitri Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Miri

Perutusan Aidilfitri Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Miri

Alhamdulillah, puji-pujian bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, dan para sahabat baginda.

Pada hari kebesaran Islam ini, saya mewakili Dewan Muslimat PAS Kawasan Miri mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam yang berada di Miri khususnya dan di seluruh Malaysia amnya.

Alhamdulillah, kita telah diberi peluang oleh Allah untuk mendidik diri dan jiwa kita dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. DMPK Miri menyeru para muslimat sekalian untuk terus mengekalkan semangat beramal soleh dan kebajikan yang telah kita pupuk dan suburkan pada bulan Ramadhan seperti solat berjemaah, membaca dan mentadabbur al-Quran, bersedekah dan segala amal kebaikan yang lain. Sepanjang bulan Ramadhan, DMPK Miri dengan kerjasama PAS Kawasan Miri telah mengadakan serahan sumbangan kebajikan kepada golongan asnaf yang memerlukan hasil kutipan sedekah/sumbangan daripada orang ramai, edaran bubur lambuk percuma di samping membuka kaunter daftar pemilih dalam usaha mendekatkan DMPK Miri dengan rakyat.

Dengan izinNya sekali lagi, marilah kita menyambut Syawal yang menjelma ini dengan penuh kesyukuran dan rasa kehambaan, dan gunalah peluang dan ruang yang ada untuk mendekatkan hati-hati yang berjauhan, mengeratkan silaturrahim dan ukhuwwah sesama keluarga, sahabat handai, rakan taulan dan jiran tetangga.

Semoga Allah mengampuni segala kesilapan kita dan semoga segala amal ibadah kita diterima oleh Allah SWT, Insha-Allah.


“Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kalian”

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir & Batin

Hakimi binti Mohammad
Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Miri
1 Syawal 1438 Hijrah