Jum08182017

Last updateKha, 17 Ogs 2017 5pm

Back Utama Artikel Dewan Muslimat PAS Sarawak Jejak Fakir Di Petra Jaya

Jejak Fakir Di Petra Jaya

Samariang, 5 Ogos: Dewan Muslimat PAS negeri Sarawak bersama dua orang pimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) iaitu Dr. Mardhiah Hayati selaku Ketua Lajnah Dakwah DMPP dan Puan Khadijah Mahmud selaku AJK Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) DMPP telah hadir meluangkan masa menziarahi keluarga fakir dan miskin bagi menyampaikan sumbangan.

Ziarah ini juga turut disertai Puan Habsah Bujang selaku Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS) juga merangkap Ketua Lajnah Kebajikan DMPNS dan turut diiringi beberapa muslimat PAS Petra Jaya dalam ziarah ini.

Program Jejak Fakir ini diadakan sempena ziarah Pimpinan Muslimat PAS Pusat ke program Gelombang AKIFI yang diadakan di Kota Samarahan. Ziarah yang bermula pada pukul 11 pagi ini telah diadakan di sekitar Kampung Sinjan dan Kampung Sungai Midin yang terletak dalam Parlimen P164 Petra Jaya.

Kebanyakan keluarga yang diziarahi meluahkan rasa sedih kerana kebanyakan tanah yang mereka duduki sekarang masih tiada pemilikan tetap. Selain itu, rumah mereka juga kelihatan uzur dan tidak selamat untuk didiami. Namun, disebabkan tiada pilihan mereka tetap bertahan dengan keadaan sekarang.

Sumbangan dalam bentuk barangan keperluan harian dan sedikit sumbangan kewangan telah diberikan kepada setiap keluarga dalam kunjungan ziarah ini. Muslimat PAS Petra Jaya berharap agar kemiskinan dan masalah yang dihadapi setiap keluarga ini mendapat perhatian pihak berwajib dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.

Ziarah ini berakhir jam 2.00 petang. Seusai ziarah, semua ahli rombongan ziarah terus ke Kota Samarahan bagi persediaan Gelombang AKIFI yang diadakan pada malam harinya.