Jum08182017

Last updateKha, 17 Ogs 2017 5pm

Back Utama Artikel Dewan Muslimat PAS Sarawak Pengharapan Pada Allah : Tawakal & Tunduk

Pengharapan Pada Allah : Tawakal & Tunduk

Oleh : Musannifatul 'Arifah Bt. Daud

SAMARAHAN, 6 Ogos- Setiap perjuangan dalam menegakkan syiar Islam pasti ada masa sukar dan senang yang perlu dihadapi oleh setiap jundullah. Justeru, betapa perlunya setiap jundullah memiliki hati yang tinggi pengharapannya pada Allah SWT.

Setiap ujian baik sukar mahupun senang adalah datangnya daripada Allah SWT sebagaimana dalam surah Al-Anbiya' ayat 35, "Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada kamilah kamu dikembalikan."

"Ujian itu datang dalam dua bentuk, ujian kesusahan dan ujian kesenangan. Namun seringkali manusia melupakan kesenangan itu adalah ujian daripada Dia juga", ujar Dr. Mardhiah Hayati Salleh, Ketua Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Malaysia yang hadir dalam Program Gelombang Muslimat AKIFI di sini semalam. Turut hadir bersama ialah Puan Khadijah Mahmud, AJK LKK Pusat.

Sebagai Muslimat AKIFI ( Alim, Haraki dan Sufi), kekuatan rohani perlu diperkukuhkan bagi menghadapi mehnah dan tribulasi dalam gerakan Islam memandangkan peranan wanita adalah sangat penting ke arah kemajuan dakwah Islam.

Program yang dianjurkan oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Samarahan ini menekankan konsep pengharapan pada Allah sebagai kekuatan di samping pemantapan ilmu dan usaha sejajar dengan kebangkitan agenda gerakan dakwah Islam dalam jemaah PAS.

Kebergantungan dan pengharapan pada Allah adalah sebuah tawakal yang menjadi sunnah Rasulullah SAW. Dalam hadith riwayat Bukhari, dari Ibnu Abbas R.A, "Hasbunallahu wani'mal wakil'' kalimat yang dibacakan oleh Nabi Ibrahim AS ketika dilemparkan ke dalam api dan Nabi Muhammad SAW saat diprovokasi oleh orang kafir supaya takut pada mereka ;
"Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan segala kekuatannya untuk menghancurkan kalian, maka takutlah dan jangan melawan tetapi bagi orang-orang beriman bertambah imannya dan membaca Hasbunallahu wani'mal wakil"

Justeru penganjuran aktiviti seperti Solat maghrib dan Isya' berjemaah, Solat Hajat, Bacaan Yassin dan Tazkirah dirancang bagi meniupkan segala roh kekuatan, tunduk dan tawakal ke dalam diri seorang muslimah.

Harapan pada masa akan datang agar program Gelombang Muslimat AKIFI dapat diteruskan bagi memberi semangat dan inspirasi kepada para muslimat PAS untuk kental dalam perjuangan dakwah Islam!