Sab07222017

Last updateJum, 21 Jul 2017 10am

Back Utama Artikel Dewan Pemuda PAS Sarawak Perutusan Eidulfitri Ketua Dewan Pemuda PAS Miri

Perutusan Eidulfitri Ketua Dewan Pemuda PAS Miri

Assalamualaikum wbt,

Firman Allah yang bermaksud:

Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. [Al-Baqarah: 185]

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah swt, Tuhan yang menciptakan alam semesta, yang juga Maha Mengasihi dan Maha Menyayangi hamba-hambaNya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga, dan para sahabat baginda.

Mewakili Dewan Pemuda PAS Kawasan Miri (DPPK Miri), kami mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Eidulfitri kepada seluruh umat Islam di Miri terutamanya anak muda sekalian.

Setelah kita berjaya menempuh bulan Ramadhan yang penuh keberkatan, DPPK Miri menyeru anak muda untuk sama-sama kita terus kekal bersemangat meneruskan amal kebajikan yang telah kita suburkan di bulan Ramadhan. Usaha-usaha seperti solat fardhu berjemaah, membaca & memahami Al Quran dan bersilaturrahim sesama ahli keluarga serta rakan taulan wajar diteruskan agar usaha kita untuk membersihkan jiwa dan menjadi hambaNya yang bertakwa akan terus berkekalan.

Sepanjang bulan Ramadhan juga, DPPK Miri melalui Jabatan AMAL telah mengadakan program-program kemasyarakatan seperti singgah sahur & sungkei serta sumbangan kebajikan kepada masyarakat yang kurang berkemampuan. Usaha ini akan diteruskan malah kami mengalu-alukan penyertaan anak muda dalam program ini dengan menjadi sukarelawan Jabatan AMAL agar lebih ramai golongan yang kurang berkemampuan dapat kita dekati.

Semoga amal kita diterima oleh Allah swt, Insyaallah.

Salam Eidulfitri
Maaf Zahir & Batin

Awangku Alizul Awangku Matali
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Miri
1 Syawal 1438Hijrah