Sel09262017

Last updateSel, 26 Sep 2017 5pm

Artikel

Kelantan beri sokongan padu projek pertanian

 

KOTA BHARU: Usaha awal Kelantan memperkembang industri penernakan kambing kini ternyata berbaloi apabila permintaan daging kambing sekarang semakin meningkat.

 

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (gambar) berkata, Kelantan juga negeri pertama di Malaysia mewujudkan Persatuan Penternak Kambing, 2009.

 

Kemudian diikuti pula penubuhan Persatuan Jihad Ternak sehingga terus berkembang kepada kewujudan Koperasi Jihad Ternak.

 

"Program Jihad Ternak dikembangkan ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Kelantan. Kambing yang diternak jenis Jamnapari dan Boer.

 

"Kerajaan negeri juga bercadang memperkenalkan kambing baka dari Arfika Selatan memandangkan saiz badannya lebih besar," katanya di sini.

 

Baru-baru ini penganalisis politik dari UKM, Prof Madya Datuk Dr Muhamad Agus Yusoff menganggap tidak ada idea baru kerajaan Kelantan di bawah kepemimpinan sekarang.

 

Dalam komentarnya baru-baru ini beliau menulis masuk pejabat jam 8 pagi dan balik jam 5 petang? Beliau juga menganggap program penternakan kambing jamnapari dan padi organik di Kelantan juga tidak kedengaran lagi.

 

Che Abdullah menganggap Dr Agus tidak mendapat maklumat tepat mengenai perkembangan bidang pertanian di Kelantan.

 

Katanya, biar pun sumber kewangan agak terhad namun setiap tahun sebanyak RM200,000 diperuntukkan kepada program Jihad Ternak bagi melahirkan lebih ramai penternak yang berjaya.

 

Menurutnya juga pemilihan baka kambing dipelbagai dan tidak hanya semata-mata jenis jamnapari bagi memberi pulangan hasil kepada penternak.

 

"Apa yang lebih membanggakan sekarang permintaaan daging kambing di Kelantan sekarang semakin tinggi antara hasil usaha kerajaan negeri sebelum ini," katanya.

 

Beliau juga memberitahu projek tanaman padi organik di bendang Tunjung dilaksana sebuah badan bukan kerajaan, Sunnah Tani di kawasan seluas lebih sehektar.

 

Katanya, biar pun diusahakan NGO, namun kerajaan negeri memberi sokongan padu terhadap projek berkenaan dengan memberi bantuan kewangan.

 

Oleh itu beliau menjelaskan projek padi organik terbabit dikendalikan sepenuhnya NGO dan bukan di bawah perancangan Jabatan Pertanian.

 

"Biar pun dikendalikan NGO namun kerajaan negeri tetap membantu dengan menyalur bantuan kewangan sejak 2010 sehingga tahun lepas berjumlah lebih RM100,000," ujarnya.