Ahd04302017

Last updateAhd, 30 Apr 2017 2pm

Back Utama Kenyataan/Berita Senjata Kimia Dan Demokrasi  

Senjata Kimia Dan Demokrasi  

Saya tidak termasuk di kalangan Melayu mudah lupa seperti kenyataan seorang tokoh negara. Saya tidak lupa kisah senjata kimia yang menjadi sebab beberapa siri Perang Teluk yang masih tidak padam apinya. Bermula kerana dikatakan regim Saddam Husein mempunyai senjata kimia yang membahayakan negara serantau. Sebelumnya, di awal tahun 1980-an, Iraq menyerang Iran kerana alasan bahaya Revolusi Islam, dengan bantuan semua negara Barat, Amerika dan sekutunya, manakala bersama sebahagian besar negara Arab kerana bahaya Syiah terhadap Sunni.

Dalam muqadimah Perang Teluk ternyata Saddam menggunakan senjata kimia sehingga berlakunya Peristiwa Halabjah yang memangsakan kaum Kurdis dan rakyat Iran yang tidak berdosa. Selepas Perang Teluk siri berikutnya terbukti tidak ada senjata kimia di Iraq, tetapi yang ada hanyalah kawasan minyak dan gas yang menjadi rebutan.

Berikutnya muncul pula ISIS yang mengisytiharkan Khalifah Abu Bakar Al Baghdadi. Ada pun kawasan dikuasainya pula memiliki m banyak telaga minyak di daratan yang boleh diperniagakan dengan mudah; dikatakan melalui Turki dan lain-lain melibatkan beberapa orang tokoh politik atau kroni mereka.

Pasukan tentera ISIS pula banyak menggunakan pacuan empat roda, puluhan ribu kenderaan jenis Hilux dan senjata moden yang mudah didapati. Banyak pendapat mengatakan ia dibeli dengan duit Arab yang kaya raya dan dibekalkan oleh kilang senjata Barat, bagi menjana ekonomi Barat yang sedang merosot dan mengorbankan harta dan nyawa sahabat Arab yang kurang cerdik, mungkin kerana tidak mampu menyaingi kemaraan Jepun dan China yang lebih ke depan perniagaannya dalam polisi ekonomi bebas.

Kita masih tidak lupa dengan peristiwa Arab Spring, kebangkitan rakyat mendesak Demokrasi Bebas dan menentang kezaliman. Dalam masa yang sama negara Barat yang menyokongnya pula mendukung dan menyokong kerajaan yang mengamalkan konsep Diktator dan nyata zalimnya. Banyak negara yang dilanda Arab Spring tidak menghasilkan buah yang masak politiknya, malah menjadi lebih parah, sehingga mencetuskan keganasan dan peperangan yang tidak berkesudahan.

Isu senjata kimia ditimbulkan pula di Syria yang masih bergolak dengan ganas. Sepatutnya cerita lama tidak ditayang semula, tetapi dunia hiburan sudah biasa menayangkan filem hitam putih yang tidak berwarna beberapa kali tanpa puas.

Boleh juga berlaku cerita sebenar di sebaliknya, umpama apabila pencuri yang dikepung di malam yang gelap cuba melepaskan diri daripada orang ramai yang mengepungnya berteriak dengan menempik perkataan, "Pencuri! Pencuri!! Pencuri!!!”. Pencuri sebenar juga sama-sama menempik perkataan "Pencuri !!!”, berulang kali, bahkan lebih kuat dari orang lain bagi melepaskan dirinya.

Allah mengingatkan orang-orang yang beriman :

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (al-Hujurat: 6)

Sebab turunnya ayat ini apabila disampaikan berita bohong oleh orang yang fasik di zaman Rasulullah S.A.W yang hampir mencetuskan peperangan.

Al Quran adalah mukjizat petunjuk di sepanjang zaman, sehingga zaman terkini. Peristiwa yang berlaku kini, kalau silap langkahnya boleh mencetuskan perang dunia yang parah akibatnya.

Amir Al Mu’minin Ali K.W menegaskan:

"Ada perkataan yang benar (maknanya dari segi sebutan), tetapi dikehendaki kepada tujuan atau maksud yang salah atau jahat."

Jangan lupa bahawa Israel dan sekutunya adalah negara yang mempunyai paling banyak senjata merbahaya disamping menguasai media dan kuasa kewangan yang mempengaruhi politik negara lain.

Maka PAS telah melakukan muhasabah melalui politik matang dan sejahtera di peringkat antarabangsa dengan menapis dan berhati-hati dalam menerima berita. Manakala di peringkat nasionalnya pula PAS menarik diri daripada gerakan bernama Bersih, apabila tercium daripada beberapa sirinya bau–bau yang tidak bersih.

"Inilah Penyelesaian Kita"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
10 Rejab 1438H/07 April 2017M