Rab05242017

Last updateRab, 24 Mei 2017 10am

Back Utama Kenyataan/Berita Perutusan Presiden PAS Sempena Hari Guru 2017

Perutusan Presiden PAS Sempena Hari Guru 2017

PERUTUSAN PRESIDEN PAS SEMPENA HARI GURU 2017

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengambil kesempatan pada hari bermakna tanggal 16 Mei 2017 untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru dengan mengangkat tema “Guru Pembentuk Generasi Rabbani”.

Kita menerima hakikat bahawa institusi perguruan dalam sektor pendidikan merupakan faktor utama kejayaan dalam pembangunan insan dan jati diri rakyat Malaysia. Bermula dengan pendidikan pra sekolah, peringkat rendah, sekolah menengah sehingga universiti mahu pun ditempat pengajian pondok tidak dapat lari daripada peranan seorang guru.

Peranan guru sebagai pendidik untuk melahirkan manusia bukan sahaja diberi ilmu bahkan diasuh dengan acuan yang memenuhi fitrah, naluri, sifat semulajadi dan tujuan diciptakan manusia oleh Allah SWT untuk mengabdikan diri kepada Allah, memakmurkan bumi (khalifah) dan menunaikan amanah dengan adil.

Negara perlu mengikut acuan pendidikan yang diajar oleh Allah SWT berteraskan pendidikan holistik (menyeluruh dan bersepadu) berpaksikan ketuhanan yang selari dengan ayat pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, (Bacalah! Dengan Nama Tuhanmu yang menciptakan).

Apabila pendidikan negara yang menjadi acuan pembangunan insan tidak mengikut ciri-ciri kejadian dan peranannya, nescaya melahirkan manusia yang tidak mengikut petunjuk Allah dalam melaksanakan cara hidup sama ada individu atau bermasyarakat yang melibatkan politik, ekonomi, sosial kemanusiaan dan masyarakat madani.

Maka guru yang cemerlang ialah guru yang memikul tanggungjawab untuk mengisi jiwa anak muridnya dengan nilaian roh, akal dan jasad bagi memenuhi fitrah insani demi mencapai matlamat manusia diciptakan.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan sekali lagi selamat menyambut Hari Guru kepada semua warga pendidik walau di mana anda berada.

“Sejahtera Bersama Islam”

 

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 19 Syaaban 1438H / 16 Mei 2017M

(jathumbnail off}